PUTRAJAYA, 19 APRIL 2025 – Seramai 31,600 bakal haji mempersiapkan diri untuk fasa akhir menerusi Kursus Perdana Haji Musim 1446H/2025M anjuran Lembaga Tabung Haji (TH) yang diadakan secara berperingkat di seluruh negara bermula 11 April hingga 4 Mei 2025.
Kursus selama dua hari satu malam ini merupakan kemuncak kursus haji bagi memperkukuh kefahaman berkaitan manasik (tatacara pelaksanaan) haji kepada bakal jemaah haji terpilih pada musim ini sebelum berangkat ke Tanah Suci yang melibatkan aktiviti praktikal seperti tawaf, sa'ie, bermabit dan melontar.
Kursus Perdana Haji Peringkat Wilayah Persekutuan telah diadakan di Masjid Sultan Mizan Zainal Abidin bermula hari ini dan telah disempurnakan oleh Yang Berhormat Senator Dato’ Setia Dr. Haji Mohd Na’im Haji Mokhtar, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama).
Dalam ucapan perasmiannya, YB Senator Dato’ Setia Mohd Na’im menasihatkan bakal-bakal haji untuk sentiasa menjaga akhlak dan mengekalkan tahap disiplin yang tinggi bagi memastikan kelancaran perjalanan haji yang bakal dilalui.
“Haji merupakan satu ibadah yang memerlukan kekuatan rohani, fizikal dan mental. Justeru, amat diharapkan agar bakal-bakal haji dapat mempersiapkan diri di samping menambah kefahaman mengenai manasik haji serta tanamkan sifat syukur dan sabar dalam menghadapi lautan manusia sepanjang di Tanah Suci terutama semasa hari kemuncak di Masyair nanti,” ujar beliau.
“Saya harap bakal-bakal haji dapat menumpukan masa dan tenaga kepada ibadah serta mematuhi segala peraturan semasa di Tanah Suci. Kekalkan sikap disiplin yang tinggi dan jadilah jemaah haji contoh untuk dunia Islam, seterusnya menjaga nama baik TH dan Malaysia,” tambah beliau lagi.
Turut hadir dalam majlis perasmian ini ialah Pengarah Urusan Kumpulan dan Ketua Pegawai Eksekutif TH, Datuk Syed Hamadah Syed Othman, Ketua Pengarah Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM), Dato’ Dr. Sirajuddin Suhaimee, Pengarah Jabatan Agama Islam Wilayah Persektuan (JAWI), Haji Hanifuddin Roslan dan barisan pengurusan kanan TH.
Datuk Syed Hamadah berkata TH sentiasa komited untuk menjaga kebajikan dan keselamatan setiap jemaah haji Malaysia melalui perkhidmatan dan kemudahan disediakan yang mencapai kualiti bertaraf dunia serta menjadi contoh kepada negara-negara Islam.
“Walaupun dengan pelbagai cabaran pada setiap tahun, semua perkhidmatan yang ditawarkan oleh TH kekal komprehensif dan di tahap tertinggi demi kebajikan, keselesaan serta keselamatan para jemaah haji negara,” kata beliau.
Datuk Syed Hamadah dalam ucapannya turut mengingatkan bakal-bakal haji untuk menjaga dan meningkatkan tahap kesihatan bagi menghadapi cuaca panas di Tanah Suci terutamanya menjelang Hari Wukuf nanti.
Seiring dengan perkembangan teknologi, beliau turut memaklumkan TH giat menyediakan pelbagai platform digital sepanjang operasi haji berlangsung sebagai kemudahan khusus buat bakal-bakal haji.
“TH menyediakan tiga platform digital berkaitan operasi haji iaitu THHujjaj bagi memudahkan jemaah haji mendapat maklumat terkini sepanjang perjalanan haji, e-Bimbingan yang berfungsi sebagai pembelajaran ibadat haji dalam talian dan e-TAIB yang membolehkan jemaah haji mengajukan soalan bimbingan haji, hukum-hakam serta mendapatkan penjelasan secara terus,” jelas Datuk Syed Hamadah.
Bagi musim haji untuk tahun 1446H/2025M, Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dan Putrajaya mencatatkan jumlah jemaah haji keseluruhan seramai 2,089 orang yang terdiri daripada 1,174 jemaah lelaki dan 915 jemaah wanita.
-TAMAT-