KEDAH, Sabtu, 2 Mac 2013: Lembaga Tabung Haji (TH) hari ini menyerahkan sumbangan berupa 10 buah rumah baru kepada 10 keluarga miskin di Negeri Kedah dalam satu majlis simbolik penyerahan yang diadakan di Kampung Batu 10, Jeniang, Kedah.
Sumbangan 10 buah rumah baru bernilai RM300,000 ini telah disampaikan oleh Yang Berhormat Mejar Jeneral Dato’ Seri Jamil Khir bin Haji Baharom, Menteri di Jabatan Perdana Menteri kepada keluarga yang telah terpilih di sekitar Negeri Kedah dengan disaksikan oleh Yang Berbahagia Dato’ Kamaruddin Mat Ali, Ketua Pegawai Operasi TH.
Program ini merupakan salah satu inisiatif tanggungjawab sosial korporat TH di bawah Projek Bumbung yang dimulakan pada tahun 2012 sebagai usaha TH untuk menyumbang ke arah pembangunan komuniti yang lestari dan mampan khususnya komuniti Islam. Prihatin dengan nasib mereka yang tidak mempunyai rumah yang sempurna dan dalam berkongsi rezeki yang diperolehi, TH tampil menghulurkan bantuan membela nasib mereka yang memerlukan.
Menurut Yang Berhormat Dato’ Seri Jamil Khir, “Inisiatif yang dibuat oleh Tabung Haji hari ini merupakan sumbangan yang sangat bernilai dan wajar dipuji serta dijadikan contoh kerana program seumpama ini bukan sahaja selari dengan program transformasi Negara ke arah membina masyarakat yang lestari, bahkan sumbangan seperti ini pastinya mampu meningkatkan taraf sosio-ekonomi masyarakat Malaysia keseluruhannya”.
“Projek ini merupakan salah satu platform untuk TH dalam usaha membela golongan miskin dan kurang berkemampuan untuk memiliki rumah yang lebih selamat dan selesa. Selain daripada itu, sumbangan ini juga diharapkan dapat meringankan beban golongan ini, dan memberi mereka harapan untuk terus berusaha memperbaiki kehidupan mereka masingmasing” kata Yang Berbahagia Dato’ Kamaruddin Mat Ali.
Projek Bumbung TH adalah merupakan sebahagian daripada agihan zakat perniagaan TH untuk pembinaan atau penambahbaikan rumah bagi golongan Asnaf fakir miskin dan surau atau masjid bagi komuniti yang tidak berkemampuan. Setiap keluarga yang terpilih di dalam Projek Bumbung TH di negeri Kedah ini, menerima sebuah rumah baru yang telah siap dibina bernilai RM30,000 setiap sebuah. Selain negeri Kedah, Projek Bumbung TH ini juga telah dijalankan di enam (6) buah Negeri yang lain, iaitu Johor, Perak, Terengganu, Pahang, Kelantan dan Wilayah Persekutuan. TH telah memperuntukan sumbangan sebanyak RM2.52 juta untuk melaksanakan Projek Bumbung TH pada tahun ini.
Antara program-program tanggungjawab sosial korporat dilaksanakan oleh TH ialah Projek Ehsan, Projek Pendidikan dan Projek Kesihatan.
Majlis hari ini turut dihadiri oleh. YB. Dato’ Haji Mohd Suhaimi bin Haji Abdullah, Penyelaras Parlimen Jerai, Ahli-ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kedah, Pegawai-pegawai Daerah Negeri Kedah dan Barisan Pengurusan Kanan TH.
-Tamat-