KUALA LUMPUR, 23 DISEMBER 2024 - Karnival Haji, Umrah dan Pelancongan 1446H/ 2025 kali ketiga anjuran bersama Lembaga Tabung Haji (TH) dan Persatuan Pengendalian Pelancongan Bumiputera Malaysia (BUMITRA MALAYSIA) akan berlangsung selama tiga hari bermula 3 hingga 5 Januari 2025 di Movenpick Hotel & Convention Centre, KLIA, Sepang.
Ketua Jabatan Haji TH, Tuan Haji Mohd Hisham Harun berkata, tujuan utama Karnival yang bakal dilangsungkan pada awal tahun 2025 untuk memberi pilihan kepada bakal-bakal haji terpilih menunaikan haji sama ada bersama muassasah atau menerusi pakej yang ditawarkan oleh Pengelola Jemaah Haji (PJH).
“Karnival ini juga adalah sebagai salah satu usaha untuk mempromosikan pakej haji yang disediakan oleh 37 buah syarikat yang dilesenkan TH dikenali sebagai PJH berbanding 25 buah syarikat pada musim haji yang lalu,’ tambah beliau.
“TH memberi ruang dan peluang bakal-bakal haji menilai kesemua pakej yang ditawarkan oleh 37 buah syarikat PJH, di bawah satu bumbung dan memudahkan bakal-bakal haji untuk membuat pilihan pakej haji mengikut kemampuan dan cita rasa masing-masing selari dengan tema Pilih Keselesaan, Pilih Pakej Haji,” jelas beliau lagi.
Sementara itu , menurut Dr Wan Muhamad Adam Wan Norudin, Presiden BUMITRA MALAYSIA, “Karnival PJH mencerminkan visi bersama untuk mempromosikan kepercayaan, ketelusan, dan kecemerlangan dalam industri Haji dan Umrah.
Kerjasama Tabung Haji dan RHB Islamic Bank, membolehkan bakal-bakal haji tahun 2025 untuk membuat keputusan yang tepat untuk perjalanan ibadah mereka”.
Tuan Haji Mohd Hisham Harun turut mengingatkan orang ramai yang ingin menunaikan fardu haji supaya memilih syarikat yang berdaftar di bawah TH bagi mengelakkan perkara tidak diingini berlaku seperti kes penipuan.
-TAMAT