PETALING JAYA, 21 Disember 2020 – Lembaga Tabung Haji (TH) hari ini telah menandatangani tawaran pembelian sebuah menara pejabat daripada Bukit Damansara Development Sdn. Bhd. iaitu anak syarikat milik penuh Johor Corporation (JCorp) dengan harga RM147 juta. Menara VSQ 1 ialah menara pejabat 20 tingkat yang terletak di Petaling Jaya, Selangor dan berfungsi sebagai ibu pejabat QSR Brands, yang mengendalikan rangkaian restoran makanan segera KFC dan Pizza Hut di Malaysia.
Pengarah Urusan Kumpulan dan Ketua Pegawai Eksekutif TH, YBhg. Datuk Nik Mohd Hasyudeen Yusoff berkata pelaburan terbaru ini dijangka memberikan pulangan sebanyak 5.5 peratus berdasarkan perjanjian penghunian penuh dan penyewaan jangka panjang bangunan.
"Sebagai pemegang amanah para pendeposit, TH akan terus mencari peluang di dalam membuat pelaburan baru secara langsung atau tidak langsung bagi menambah portfolio hartanah yang dapat memberikan pendapatan berulang dan stabil, sekaligus memberi pulangan yang mampan kepada 9 juta pendeposit TH,” kata beliau.
Menara VSQ 1 terletak di Petaling Jaya, sebuah bandaraya yang pesat membangun dengan lebih 600,000 penduduk. Kedudukan strategik yang disokong rangkaian lebuhraya menjadikannya lokasi popular untuk pembeli dan pelabur hartanah.
YB Senator Datuk Dr. Zulkifli Mohamad Al-Bakri, Menteri di Jabatan Perdana Menteri yang bertanggungjawab bagi Hal Ehwal Agama, menyaksikan upacara menandatangani perjanjian tersebut di mana TH diwakili oleh Tuan Haji Hizamuddin b. Jamalluddin, Pengarah Eksekutif Pelaburan sementara Bukit Damansara Development Sdn. Bhd. diwakili oleh Encik Hazman Hilmi Sallahuddin, merangkap Pengarah Urusan Damansara Assets Sdn. Bhd.
“TH sentiasa komited untuk memberikan kerjasama dan perkhidmatan yang terbaik kepada para penyewa dan berharap QSR Brands akan terus berada di bangunan ini untuk tempoh yang lama. TH mendoakan JCorp dan QSR Brands terus berkembang maju pada masa yang akan datang,” kata beliau.
TH bercadang menambah pelaburannya dalam sektor hartanah pada masa hadapan sejajar dengan Rancangan Malaysia ke-12.
Majlis turut dihadiri oleh YBhg. Tan Sri Md Nor Yusof, Pengerusi TH; YBhg. Datuk Syed Mohamed Syed Ibrahim, Presiden dan Ketua Eksekutif JCorp; dan YBhg. Datuk Sr. Akmal bin Ahmad, Pengarah Divisyen Hartanah dan Infrastruktur JCorp merangkap Pengarah Damansara Assets Sdn. Bhd..
-Tamat-