KUALA LUMPUR, 2 OKTOBER 2023: Majlis Kesyukuran Sempena Tamat Operasi Haji Musim 1444Hijrah yang dianjurkan oleh Lembaga Tabung Haji (TH) adalah sebagai tanda kesyukuran atas hasil kejayaan TH, agensi agensi kerajaan, swasta dan rakan-rakan strategiknya dalam menguruskan operasi haji pada tahun ini.
Majlis yang dianjurkan ini adalah untuk merakamkan tanda penghargaan TH kepada pihak-pihak yang telah bersama-sama menjayakan operasi haji di Tanah Air dan Tanah Suci yang dihadiri oleh lebih 300 orang petugas dan wakil daripada agensi dan syarikat swasta yang telah terbabit di dalam operasi haji tahun 1444H/2023M.
YB Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) YB Senator Dato’ Setia Dr. Mohd Na’im Haji Mokhtar berkata kejayaan TH pada setiap musim haji tahun ini adalah hasil perancangan yang baik dan kerjasama erat dan hubungan akrab yang telah terjalin sejak sekian lama di antara TH dan agensi-agensi luar dan syarikat-syarikat swasta yang juga merupakan rakan-rakan strategik TH.
YB Senator Dato’ Setia Dr. Mohd Na’im turut merakamkan rasa penghargaan dan terima kasih kepada Duta Besar Arab Saudi di Malaysia di atas kerjasama, bantuan serta sokongan baik yang diberikan sepanjang operasi haji berjalan.
“Berkat hubungan baik antara Malaysia dan Kerajaan Arab Saudi, Malaysia telah dipilih sekali lagi untuk pelaksanaan Program Pra-Perlepasan Imigresen Arab Saudi atau ‘Makkah Route’ yang ternyata telah memendekkan masa menunggu para jemaah setibanya mereka ke Tanah Suci”, tambah beliau lagi.
Dalam ucapannya, YB Senator Dato’ Setia Dr. Mohd Na’im memaklumkan bahawa TH telah menerima sumbangan bernilai RM3.3 juta daripada 29 organisasi melalui program “Sahabat Korporat TH” yang turut membantu melancarkan urusan ibadah jemaah haji Malaysia,” kata beliau.
Sumbangan tersebut adalah dalam bentuk wang tunai dan barangan keperluan asas jemaah haji seperti beg beroda, beg sandang, tikar jemaah, tikar sejadah, bahan bacaan seperti buku-buku doa, peralatan kesihatan dan kelengkapan harian.
Hadir sama di dalam majlis tersebut adalah Duta Besar Kerajaan Arab Saudi ke Malaysia, TYT Mesaad Ibrahim A Al Sulaim; Pengerusi TH, YBhg Tan Sri Azman Haji Mokhtar, Pengarah Urusan Kumpulan dan Ketua Pegawai Eksekutif TH, Tuan Syed Hamadah Syed Othman; Pengarah Eksekutif Haji merangkap Ketua Rombongan Haji 1444H, YBhg Dato’ Sri Syed Saleh Syed Abdul Rahman dan Pengurusan Kanan TH.
-Tamat-