KUALA LUMPUR, 21 September 2020 – Mövenpick Hotel & Convention Center (MHCC) KLIA, sebuah hotel milik Lembaga Tabung Haji (TH), telah menerima dua pengiktirafan sebagai hartanah mesra alam dan juga penginapan mesra muslim.
Kemenangan hotel ikonik ini jelas membuktikan tahap reka bentuknya yang bukan sahaja unik tetapi berdasarkan kelestarian tinggi, serta pencapaian perkhidmatan yang menyerlahkan kedudukan MHCC di dalam industri perhotelan negara.
“MHCC adalah sebuah permata tersembunyi milik TH. Kami berharap dua anugerah ini akan membuka mata rakyat Malaysia kepada keunikan seni bina berunsur Islam di negara kita di samping menikmati kemudahan hospitaliti dan perkhidmatan bertaraf lima bintang,” kata Encik Muhammad Fawwaz Aminuddin, Pengurus Besar Pelaburan Strategik TH.
Hasil seni bina arkitek terkemuka dunia Hijjas Kasturi, MHCC telah memenangi kategori Platinum dalam pensijilan Pengiktirafan Penginapan Pelancongan Mesra-Muslim (MFAR) oleh Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya Malaysia (MOTAC) melalui Islamic Tourism Centre (ITC) pada 3 September 2020 lalu. Ia juga dinobatkan sebagai Bangunan Komersil Hijau Baharu Terbaik oleh Malaysia Green Buildings Council (MGBC) pada 15 September 2020.
Anugerah Platinum MFAR mengiktiraf MHCC sebagai hotel yang berkonsepkan „mesra-Muslim‟ dengan kelengkapan dan fasiliti patuh syariah selain menjadi tarikan pelancong mesra-Muslim, mempunyai restoran-restoran halal berserta cef-cef yang diiktiraf dan menawarkan maklumat tentang lokasi-lokasi masjid. Selain itu juga, hotel ini turut menawarkan kolam renang berasingan (bagi keluarga dan satu lagi bagi wanita khususnya); kemudahan gimnasium dan spa berasingan; petunjuk arah kiblat yang jelas dan tepat; serta menyediakan bidet, sejadah dan Al-Quran di setiap bilik penginapannya.
Manakala, penghargaan daripada MGBC pula mengiktiraf bangunan milikan TH ini sebagai bangunan perintis ke arah "bangunan hijau" selain menawarkan aspek kelestarian. Sebagai contoh, rekabentuk bangunan hotel yang telah dirancang untuk mendorong penggunaan cahaya siang tersebar ke dalam bangunan. Selain itu juga, laluan pejalan kaki dan Anjung Tinjau yang membenarkan aliran udara semula jadi untuk mengurangkan penggunaan penyaman udara. Di samping itu, pengurusan sisa yang baik seperti mesin kompos digunakan untuk memproses sisa organik seperti sisa makanan kepada baja organik.
Bangunan hotel ini turut mengamalkan amalan hijau dan mengikut kriteria Green Building Index bagi mencapai penarafan Perak serta menerapkan elemen Low Carbon Society dalam setiap program dan perancangan pembangunan.
Di samping itu, MHCC juga digunakan sejak 2018 sebagai kompleks haji dan stesen berlepas jemaah haji tanah air. Kedudukannya yang berhampiran dengan Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) memberi nilai tambah kepada pengunjung hotel sekaligus meningkatkan lagi faktor kemudahan pengangkutan.
TH amat berbangga dengan pencapaian anugerah yang diraih oleh Mövenpick Hotel & Convention Centre KLIA dan berharap agar dengan pengiktirafan ini, bangunan milikan TH ini akan terus maju dan berusaha untuk mencapai tahap yang lebih cemerlang demi kemajuan industri pelancongan Malaysia.
-Tamat-