SHAH ALAM, 9 SEPTEMBER 2023: Lembaga Tabung Haji (TH) telah mengadakan program Himpunan Persaudaraan Hujjaj (HISHAJ) secara berperingkat di seluruh negara bagi mengekalkan semangat kemabruran haji selain merapatkan ukhwah di kalangan jemaah haji musim 1444H.
Inisiatif Program HISHAJ menghimpunkan jemaah musim haji 1444H bermula 5 Ogos sehingga 10 September 2023 dan dilaksanakan di 84 buah masjid yang terpilih.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) YB Senator Dato’ Setia Dr. Haji Mohd Na’im Haji Mokhtar berkata haji yang mabrur tidak hanya terbatas kepada melakukan manasik haji di tanah suci dengan sebaiknya, tetapi memerlukan jemaah haji untuk terus istiqamah setelah pulang ke Tanah Air.
“Apa sahaja amal ibadat yang dilakukan di Tanah Suci seperti solat berjemaah di masjid, solat-solat sunat, puasa sunat, bersedekah dan sebagainya perlulah diteruskan dalam kehidupan seharian kita,” kata YB Dato’ Setia.
Selain itu, YB Dato’ Setia turut mengingatkan semua jemaah haji untuk mengekalkan imej ‘haji dan hajah’ dengan berperwatakan baik dan mencerminkan nilai-nilai murni dalam setiap perlakuan, kata beliau di program HISHAJ peringkat Shah Alam di Masjid Diraja Tengku Ampuan Jemaah, Bukit Jelutong.
Sementara itu, Pengarah Urusan Kumpulan dan Ketua Pegawai Eksekutif TH, Tuan Syed Hamadah Syed Othman berkata TH sentiasa komited untuk memastikan agenda bimbingan haji kepada para jemaah haji diteruskan dan dipertingkatkan dari masa ke masa.
“Program seperti ini memberi peluang pembelajaran untuk TH berusaha menambahbaik kualiti perkhidmatan TH yang ditawarkan pada masa hadapan,” ujar beliau.
Bagi persediaan musim haji 1445H/2024M, TH telah menyusun program Muzakarah Haji Peringkat Kebangsaan ke-40 untuk membincangkan permasalahan dan isu ibadat yang timbul dalam kalangan Jemaah Haji Malaysia.
TH akan meneruskan bimbingan haji kepada bakal-bakal haji 1445H dengan penganjuran Kursus Asas Haji yang membicarakan 13 topik berkenaan haji di seluruh negara melibatkan hampir 200 buah masjid bermula bulan Oktober tahun ini.
-Tamat-