GEORGETOWN, 22 Ogos 2022: Lembaga Tabung Haji (TH) serahkan Zakat Perniagaan bagi tahun kewangan 2020 dan 2021 bernilai RM8,040,457.49 kepada Majlis Agama Islam Negeri Pulau Pinang (MAINPP) di Sri Mutiara, Jalan Utama, Pulau Pinang.
Yang Di-Pertua Negeri Pulau Pinang, Tuan Yang Terutama Tun Dato’ Seri Utama Ahmad Fuzi Haji Abdul Razak telah menerima bayaran zakat perniagaan tersebut bagi pihak MAINPP yang disampaikan oleh Pemangku Pengarah Eksekutif Operasi TH, Mohamed Ameen Abdul Wahab.
Mohamed Ameen berkata bayaran zakat TH untuk negeri Pulau Pinang sebanyak RM4.05 juta bagi tahun 2021 meningkat sebanyak 1.3 peratus berbanding tahun 2020. Jumlah keseluruhan bayaran zakat TH sebanyak RM101.19 juta untuk tahun 2021 turut mencatatkan peningkatan sebanyak 1.41 peratus berbanding tahun sebelumnya.
“Zakat TH untuk tahun 2020 sebanyak RM3.99 juta telah diserahkan kepada pihak MAINPP pada suku pertama tahun lepas namun majlis penyerahan tidak dapat dilaksanakan disebabkan pandemik covid 19,” kata beliau.
“Bayaran zakat ini merupakan tanggungjawab TH sebagai sebuah organisasi Islam yang prihatin. TH berharap zakat yang diagihkan ini akan dapat membantu serta memperbaiki kualiti kehidupan golongan asnaf di Pulau Pinang,” tambah beliau.
Turut hadir menyaksikan majlis tersebut, Timbalan Ketua Menteri I Pulau Pinang, YB. Dato’IR Haji, Ahmad Zakiyuddin Abdul Rahman, Mufti Pulau Pinang, YB. Sahibus Samahah Dato’ Seri Dr. Haji Wan Salim Wan Mohd Noor, Setiausaha MAINPP, Dato’ Haji Samsudin Bakar, Pengarah Wilayah Utara TH, Dato’ Haji Mohammad Mokhzani Mukhtar, Pengarah Negeri Pulau Pinang TH, Hajah Maznizan Mamat serta ahli-ahli Lembaga Pengarah Zakat Pulau Pinang (ZPP).
-Tamat-