KELANA JAYA, Isnin, 24 Julai 2017 : YAB Perdana Menteri, Dato’ Seri Mohd Najib Tun Haji Abdul Razak dan isteri YBhg. Datin Paduka Seri Rosmah Mansor hari ini mengucapkan selamat jalan kepada Jemaah Haji Malaysia di Kompleks Haji Kelana Jaya.
Penerbangan terus dari KLIA ke Madinah pada jam 9:30 malam itu menggunakan penerbangan Flynas dan dijangka tiba pada jam 1:30 pagi (waktu Saudi), keesokannya.
Pada majlis tersebut, YAB Perdana Menteri mengingatkan kepada semua jemaah haji untuk sentiasa mematuhi segala peraturan yang dikeluarkan oleh Kerajaan Arab Saudi dan sentiasa mengikut arahan yang diberikan oleh petugas TH.
Kesemua Jemaah turut diberikan taklimat akhir sebelum berangkat dengan bas ke KLIA. Para bakal jemaah dinasihatkan agar memberikan tumpuan sepenuhnya dalam mengerjakan ibadat tersebut dengan sempurna agar memperoleh haji yang mabrur.
Pada musim haji tahun ini, sejumlah 112 penerbangan carter disediakan untuk membawa 30,200 bakal jemaah haji ke Tanah Suci menerusi penerbangan Malaysia Airlines Berhad (MAB) dan FLYNAS.
Penerbangan terakhir ke Tanah Suci bagi jemaah haji negara adalah pada 26 Ogos 2017.
Seperti tahun-tahun yang lalu, Kompleks Haji Kelana Jaya merupakan stesen berlepas utama kerana kebanyakan jemaah haji akan berlepas dari sini. TH mempunyai lapan (8) stesen berlepas. Tujuh (7) lagi stesen berlepas selain Kelana Jaya adalah Johor Bahru, Pulau Pinang, Alor Setar, Kota Baharu, Kuala Terengganu, Kuching dan Kota Kinabalu.
Melihat kepada aspek kesihatan, para bakal jemaah haji juga disaran memberi lebih perhatian kepada tahap kesihatan masing-masing memandangkan cuaca yang diramalkan panas seperti tahun terdahulu.
Pihak TH juga berkeyakinan dengan tahap keselamatan dan langkah kesiapsiagaan yang diambil oleh Kerajaan Arab Saudi dalam memastikan keselamatan jemaah haji seluruh dunia. Justeru, para jemaah tidak perlu khuatir dan diharap dapat menumpukan sepenuh perhatian kepada ibadah ketika berada di Tanah Suci.
Majlis mengucapkan selamat jalan tersebut turut dihadiri oleh YB Mejar Jeneral Dato’ Seri Jamil Khir bin Haji Baharom, Menteri di Jabatan Perdana Menteri dan isteri YBhg. Datin Seri Fatmawati Saidin; TYT Mahmoud Hussen Qattan, Duta Besar Arab Saudi di Malaysia; YB Senator Dato’ Asyraf Wajdi bin Dato’ Dasuki, Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri dan isteri YBhg. Prof. Madya Datin Dr. Nurdianawati Irwani binti Abdullah; YB Datuk Seri Panglima Abdul Azeez Abdul Rahim, Pengerusi TH dan isteri YBhg. Dato’ Seri Khadijah Mohd Noor serta YBhg. Datuk Seri Johan bin Abdullah, Pengarah Urusan Kumpulan dan Ketua Pegawai Eksekutif TH dan isteri YBhg. Datin Seri Putri Haniza Megat Hassan serta Ahli-ahli Lembaga Pengarah TH.
-TAMAT-