Lembaga Tabung Haji (TH) ingin memaklumkan kepada orang ramai, khususnya mereka yang berhasrat menunaikan fardu haji, mengenai prosedur permohonan visa haji mengikut saluran yang betul.
Umum sedia maklum, warganegara Malaysia yang ingin berkunjung ke Arab Saudi pada bila-bila masa, memerlukan visa - sama ada visa umrah, haji, ziarah, urusan perniagaan atau visa bekerja.
Bagi permohonan mengerjakan haji warganegara Malaysia yang menetap di Malaysia, ia tertakluk kepada giliran haji bakal jemaah (mengikut tahun pendaftaran haji) dan permohonan, kelulusan serta pengeluaran visa haji hendaklah diperoleh melalui Kedutaan Arab Saudi di Kuala Lumpur.
Permohonan untuk melaksanakan haji bagi visa haji Furada adalah di luar bidang kuasa TH. Namun begitu, kedua-dua permohonan visa haji tersebut mestilah dilaksanakan di Kuala Lumpur.
Sistem e-Haj bagi visa haji yang dilaksanakan oleh Kerajaan Arab Saudi memerlukan pemohon melengkapkan data-data seperti perjanjian perumahan di Madinah dan Makkah; perjanjian pengangkutan pergi dan balik dari negara asal; perjanjian sajian makanan serta perjanjian bersama Muassasah.
TH amat menitikberatkan isu keselamatan jemaah haji dan khuatir dengan tindakan beberapa pihak mutakhir ini yang ingin menunaikan ibadat haji melalui jalan darat seperti menggunakan basikal, motosikal dan kenderaan pacuan empat roda. Penggunaan jalan darat terdedah kepada risiko keselamatan, kemalangan, kegagalan mendapat visa sekaligus menghalang niat menunaikan haji.
YBhg. Dato’ Sri Syed Saleh Syed Abd Rahman, Ketua Rombongan Haji 1440H|2019M berkata, “TH sentiasa mematuhi prosedur permohonan visa haji. Permohonan luar daripada prosedur yang telah ditetapkan dan ketidakpatuhan proses ini boleh menjejaskan hubungan baik antara dua Negara. Kelulusan Visa Haji adalah hak mutlak Kerajaan Arab Saudi”.
“Walaupun ada kemampuan kewangan, umat Islam perlu faham bahawa kewajipan haji merangkumi penggiliran dalam kuota haji, kesihatan dan keselamatan sepanjang perjalanan,” tambah beliau.
Siaran Akhbar - TH SARAN TUNAI HAJI GUNA SALURAN YANG BETUL Vol 4.pdf