Lembaga Tabung Haji (TH) menyerahkan sumbangan sebanyak RM28,605.66 kepada Maahad Tahfiz Wal Tarbiyyah Darul Iman dalam satu majlis ringkas, di pejabat Maahad Tahfiz Wal Tarbiyyah Darul Iman, Tok Jiring, Kuala Terengganu, baru-baru ini.
Sumbangan telah disampaikan oleh YBhg. Dato’ Haji Ahmad Ruzman Ahmad Razali, Pengurus Besar Operasi Domestik TH dan YBhg. Dato’ Haji Mohyen Mosman Pengarah TH Terengganu kepada Tuan Haji Muzaihar Kamal bin Haji Mustafa Kamal, Pengetua Maahad Tahfiz Wal Tarbiyyah Darul Iman.
Menurut Dato' Haji Ahmad Ruzman, sumbangan zakat TH ini adalah bertujuan membantu pelajar-pelajar maahad tahfiz terutamanya pelajar asnaf dari aspek penjagaan, menjalankan aktiviti/program pendidikan pelajar serta membantu menampung kos operasi maahad tahfiz yang semakin meningkat.
Maahad Tahfiz Wal Tarbiyah Darul Iman yang beroperasi sejak 1997 ini mempunyai 545 pelajar, 53 guru dan 24 kakitangan sokongan. Sumbangan ini diharapkan dapat menjaga kebajikan para pelajar dengan mewujudkan Tabung Kebajikan Pelajar Maahad Tahfiz Wal Tarbiyyah Darul Iman untuk manfaat pelajar pusat tahfiz tersebut.
TH terus memperlihat keprihatinannya dengan penganjuran beberapa program CSR seperti Program Mobiliti, Ikhtiar dan Iqra’ yang menyasarkan golongan asnaf tahun ini. Selain memenuhi tuntutan Islam untuk saling bantu-membantu terutamanya golongan asnaf, program CSR ini merupakan platform terbaik untuk TH mendekati dan mengeratkan lagi ukhuwah dengan masyarakat yang memerlukan.
Sementara itu, Tuan Haji Muzaihar Kamal bin Haji Mustafa Kamal, Pengetua Maahad Tahfiz berkata pihaknya amat berterima kasih terhadap keprihatinan TH dan sumbangan berkenaan akan digunakan sebaiknya bagi memastikan pelajar tahfiz khususnya golongan asnaf di sekolah tersebut dapat meneruskan sesi pembelajaran mereka dan cemerlang dalam pengajian.
SIARAN AKHBAR TH - SUMBANGAN ZAKAT TH KEPADA MAAHAD TAHFIZ TERENGGANU.pdf