KUALA TERENGGANU, 12 Mei 2014 – Lembaga Tabung Haji (TH) menyerahkan zakat perniagaannya berjumlah RM3,638,133.16 bagi tahun 2013 kepada Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Terengganu (MAIDAM), dalam satu majlis ringkas di Istana Syarqiyyah, Chendering hari ini .
Pembayaran zakat bagi Negeri Terengganu tersebut mencatatkan peningkatan sebanyak 10 peratus berbanding RM3,300,636.83 pada 2012. Pembayaran zakat perniagaan TH telah disempurnakan oleh YBhg. Datuk Rozaida Omar, Ketua Pegawai Kewangan Kumpulan TH kepada Kebawah Duli Yang Maha Mulia Al-Wathiqu Billah Tuanku Mizan Zainal Abidin Ibni Al-Marhum Sultan Mahmud Al-Muktafi Billah Shah, Sultan Terengganu.
Jumlah keseluruhan zakat perniagaan TH untuk tahun kewangan 2013 yang dibayar kepada negeri-negeri di Malaysia adalah sebanyak RM46.29 juta berbanding RM41.21 juta (2012). Peningkatan jumlah keseluruhan pembayaran zakat ini adalah sejajar dengan prestasi pendapatan keseluruhan TH yang memberangsangkan bagi 2013. Bagi Negeri Terengganu pengagihan zakat yang diterimanya bagi tempoh tiga tahun berturut-turut adalah RM3,638,133.16 (2013), RM3,300,636.83 (2012) dan RM3,132,148.54 (2011).
Pembayaran zakat perniagaan merupakan kewajipan dan tanggungjawab TH sebagaimana yang disyariatkan dalam Islam, selain memperlihatkan keprihatinannya sebagai sebuah institusi Islam ikonik negara dalam melestarikan ekonomi dan menjamin kemaslahatan ummah khususnya golongan asnaf.
Selain pembayaran kepada pusat-pusat zakat, TH turut mengagihkan zakatnya secara terus kepada golongan asnaf di seluruh negara melalui program-program tanggungjawab korporat yang disusun atur sepanjang tahun bagi golongan tersebut seperti Program Ehsan, Program Iqra’ dan Program Baiti.
Turut hadir pada majlis tersebut adalah YB. Dato’ Haji Omar Pilus, Bentara Luar / Yang Dipertua MAIDAM, YBhg. Dato' Mohd Rozali Saleh, Pesuruhjaya Hal Ehwal Agama Terengganu, YBhg. Tuan Haji Mohd Noor Mohamad, Pengarah Baitulmal, YBhg. Tuan Haji Mohammad Mokhzani bin Mukhtar, Pengarah TH Negeri Terengganu, pegawaipegawai MAIDAM dan TH.
- Tamat –
TH Serah Zakat Perniagaan 2013 Kepada Majlis Agama Islam Dan Adat Melayu Terengganu