KUALA LUMPUR, 8 Mei 2017 – Lembaga Tabung Haji (TH) hari ini menyerahkan zakat berjumlah RM3,498,946.66 bagi tahun kewangan berakhir 2016 kepada Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Perak dalam satu majlis ringkas di Istana Perak, Changkat Persekutuan, Bukit Persekutuan, Kuala Lumpur.
DYMM Paduka Seri Sultan Perak Darul Ridzuan Sultan Nazrin Muizzuddin Shah Ibni Almarhum Sultan Azlan Muhibbuddin Shah Al-Mahgfur-lah telah berkenan untuk menerima pembayaran zakat ini yang dipersembahkan oleh YBhg. Dato’ Badlisyah Abdul Ghani, Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif TH. Pembayaran zakat bagi negeri Perak ini mencatatkan peningkatan sebanyak 2.18% berbanding RM3,424,433.50 (2015).
YBhg. Dato’ Badlisyah Abdul Ghani berkata sebagai sebuah institusi Islam, TH menekankan aspek kelestarian ekonomi ummah dan pembayaran zakat berperanan mempertingkatkan kebajikan masyarakat dan membantu meningkatkan kegiatan ekonomi golongan asnaf.
Pembayaran zakat kepada Pusat Pungutan Zakat di seluruh negara dilaksanakan agar wang tersebut dapat dimanfaatkan sepenuhnya oleh golongan asnaf miskin yang layak, dan seterusnya membantu ke arah kemampanan program-program zakat yang bakal dilaksanakan oleh Pusat Pungutan Zakat Negeri-negeri,” kata beliau.
Jumlah keseluruhan pembayaran zakat TH 2016 terus mencatatkan peningkatan sebanyak 1.69% (RM60.3 juta) berbanding tahun sebelumnya, RM59.3 juta (2015). Dengan kenaikan ini, TH akan meningkatkan lagi program pengagihan zakat secara terus kepada asnaf-asnaf di seluruh negara melalui Program Iqra’, Program 2 Ehsan, Program Baiti dan Program Mobiliti. Program-program tersebut diharapkan dapat memberi manfaat secara terus kepada lebih ramai golongan sasar.
Turut hadir pada majlis tersebut adalah YBhg. Jen. Dato' Seri Diraja Tan Sri Dr. Mohd Zahidi Bin Haji Zainuddin, Orang Kaya Bendahara Seri Maharaja; YBhg. Tan Sri Dato' Seri Dr. Wan Mohd Zahid Bin Mohd Noordin, Yang Di-Pertua Majlis Agama Islam Perak, Ahli-ahli dan pegawai Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Perak dan TH.
-Tamat-