PULAU PINANG, 30 April 2018 – Lembaga Tabung Haji (TH) hari ini membayar zakat berjumlah RM2,414,767.78 bagi tahun kewangan berakhir 2017 kepada Zakat Pulau Pinang dalam satu majlis ringkas di Seri Mutiara, kediaman Rasmi TYT Yang di-Pertua negeri Pulau Pinang.
YBhg Datuk Seri Johan Abdullah, Pengarah Urusan Kumpulan dan Ketua Pegawai Eksekutif TH telah menyerahkan bayaran zakat kepada Tuan Yang Terutama Tun Dato' (Dr.) Haji Abdul Rahman bin Haji Abbas, Yang di-Pertua Negeri Pulau Pinang. Pembayaran zakat bagi negeri Pulau Pinang ini mencatatkan peningkatan sebanyak 10.85% berbanding RM 2,178,499.84 (2016).
“Saban tahun TH sentiasa melaksanakan bayaran zakat pada permulaan tahun agar wang tersebut dapat dimanfaatkan ke arah kemampanan programprogram zakat yang dirangka dan disasarkan kepada golongan asnaf miskin yang layak. TH amat mengutamakan aspek kelestarian ekonomi ummah dan dengan bayaran zakat ini dapat membantu meningkatkan lagi kegiatan ekonomi golongan asnaf,” kata YBhg. Datuk Seri Johan Abdullah, Pengarah Urusan Kumpulan dan Ketua Pegawai Eksekutif TH.
Jumlah keseluruhan bayaran zakat TH 2017 terus mencatatkan peningkatan sebanyak 12.14% (RM67.6 juta) berbanding tahun sebelumnya, RM60.3 juta (2016). Dengan kenaikan ini, TH akan meningkatkan lagi program pengagihan zakat secara terus kepada asnaf-asnaf di seluruh negara melalui program-program tanggungjawab sosial korporatnya. Program-program ini diharapkan dapat memberi manfaat secara terus kepada lebih ramai golongan sasar.
Turut hadir pada majlis tersebut adalah YBhg. Dato’ Hj Abdul Malik Abul Kassim Yang Dipertua Majlis Agama Islam Pulau Pinang, YBhg. Dato’ Hj Wan Salim Wan Mohd Nor Mufti Pulau Pinang, YBhg. Dato’ Hj Sazali Hj Husein Pemangku Ketua Pegawai Eksekutif Zakat Pulau Pinang, Tuan Haji Syukor Jangga Pengarah TH Negeri Pulau Pinang dan para pegawai Majlis Agama Islam Negeri Pulau Pinang serta anggota TH.
-Tamat-