SEPANG, 27 APRIL 2025 – Bagi memastikan bakal jemaah haji bersedia dengan sebarang kemungkinan situasi kecemasan dan insiden luar jangka, Lembaga Tabung Haji (TH) dengan kerjasama Malaysia Airports Holdings Bhd (MAHB) telah melakukan simulasi latihan pengungsian bangunan di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) hari ini.
Timbalan Pengarah Gerakan, Operasi Haji Tanah Air TH, Mohamed Ameen Abdul Wahab berkata latihan simulasi ini dilaksanakan pada setiap tahun menjelang musim haji bagi memastikan semua Prosedur Operasi Standard (SOP) serta protokol pelan pengungsian dapat dilaksanakan dengan lancar dan teratur sekiranya berlaku sebarang kecemasan ketika bakal jemaah haji berkumpul di KLIA sebelum berlepas ke tanah suci.
“Keselamatan setiap bakal haji sentiasa menjadi keutamaan TH. Latihan yang diadakan ini adalah salah satu daripada modul kursus persediaan kepada para petugas haji di tanah air yang akan menyantuni para dhuyufurrahman terutamanya menjelang pelepasan kumpulan pertama bakal haji pada 29 April ini yang membawa seramai 284 jemaah ke Arab Saudi,” jelas beliau.
“Keperluan untuk mengadakan simulasi ini juga adalah bagi memastikan kesemua bakal haji termasuklah para petugas TH dan Malaysia Airports bersedia sepenuhnya bagi menghadapi sebarang kecemasan seperti kebakaran, bencana alam, rusuhan, krisis dan sebagainya”, tambah beliau.
Pelaksanaan simulasi latihan pengungsian ini adalah berdasarkan Pelan Tindakan Kecemasan OHTA serta Pelan Kecemasan Aerodome (AEP) iaitu dokumentasi pelan yang dirangka sebagai langkah pengurusan kecemasan dan bencana bagi menyelaras tindakan yang wajar diambil dengan penglibatan unit operasi KLIA, agensi kerajaan serta pihak penerbangan.
“Kami amat menghargai kerjasama rapat dan komitmen pihak Malaysia Airports dan agensi-agensi antaranya Airport Fire Rescue Service (AFRS), Polis Di Raja Malaysia (PDRM), Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM), Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), Civil Aviation Authority Malaysia (CAAM) dan semua pihak yang terlibat menjayakan latihan simulasi ini dan membantu dalam memastikan keselamatan bakal haji sentiasa dalam kawalan terbaik”, tambah Mohamed Ameen.
Simulasi latihan pengungsian ini disertai oleh lebih 200 orang peserta melibatkan para petugas TH dan MAHB, unit operasi KLIA, agensi pihak berkuasa serta pasukan perubatan dan keselamatan KLIA.
Latihan simulasi yang sama turut diadakan di semua stesen pelepasan jemaah haji negeri secara berjadual di mana latihan ini telah dilaksanakan di empat buah stesen pelepasan pada tahun lepas.
Manakala, bagi musim haji kali ini, tiga stesen pelepasan negeri telah terpilih untuk sesi latihan simulasi pengungsian iaitu Lapangan Terbang Antarabangsa Sultan Mahmud, Kuala Terengganu; Lapangan Terbang Sultan Ismail Petra, Kota Bharu; dan Lapangan Terbang Antarabangsa Senai.
-TAMAT-