KULAI, 22 APRIL 2024: Selaras dengan matlamat menyediakan perkhidmatan yang lengkap kepada pendeposit di daerah Kulai, Pejabat Cawangan Tabung Haji (TH) telah berpindah ke premis baharu di Bandar Putra, Kulai, Johor.
Majlis perasmian Pejabat Cawangan TH Kulai, Johor telah disempurnakan oleh Pengarah Urusan Kumpulan dan Ketua Pegawai Eksekutif TH, Syed Hamadah Syed Othman semalam.
Tuan Syed Hamadah berkata projek pemindahan pejabat tersebut adalah bagi menaik taraf tahap perkhidmatan di samping memberikan keselesaan kepada para pendeposit TH melakukan transaksi serta urusan haji dengan selesa dan kondusif.
Cawangan TH Kulai yang baharu mempunyai keluasan ruang hampir dua kali ganda berbanding premis sebelum ini serta ruang parkir yang lebih banyak. Ia juga terletak di kawasan perbandaran yang pesat berkembang dengan sokongan pembangunan perindustrian.
“TH mempunyai 107 buah cawangan di seluruh negara dan 10 daripadanya berada di Johor. Negeri Johor merupakan antara negeri yang mempunyai bilangan pendeposit yang tinggi dengan mencatatkan sejumlah 1.15 juta orang pendeposit dan seramai lebih 57,000 orang pendeposit adalah dari daerah Kulai,” ujar beliau.
“Saya berharap dengan pembukaan pejabat ini, pendeposit TH di sekitar daerah Kulai dan kawasan sekitarnya akan dapat menjalankan urusan transaksi dengan lebih mudah, cepat dan selesa,” tambah beliau lagi. Tuan Syed Hamadah turut berharap dengan peningkatan taraf perkhidmatan pejabat baharu ini juga dapat membantu meningkatkan jumlah pendeposit TH di kalangan umat Islam di Johor.
TH turut memperkenalkan pelbagai kemudahan terkini untuk keselesaan para pendeposit yang boleh membuat transaksi TH di kaunter Bank Islam Malaysia Berhad (BIMB) atau Bank Kerjasama Rakyat Malaysia (Bank Rakyat) tanpa sebarang caj atau di mesin ATM / CDM institusi perbankan seperti BIMB, Bank Rakyat, Maybank dan CIMB yang berhampiran. Pendeposit TH juga boleh menggunakan kemudahan perbankan internet di BIMB, Bank Rakyat, Maybank, CIMB dan AmBank serta melalui perkhidmatan atas talian TH – THiJARI.
Aplikasi THiJARI dibangunkan selari dengan perubahan masa dan teknologi masa kini, menyediakan perkhidmatan atas talian yang membolehkan pendeposit melaksanakan transaksi TH di mana-mana sahaja dan pada bila-bila masa tanpa perlu hadir ke pejabat TH. TH juga telah melebarkan perkhidmatannya melalui pelaksanaan perkhidmatan kaunter bergerak dan TH Komuniti sebagai inisiatif tambahan untuk kemudahan umat Islam mendapatkan perkhidmatannya.
Berucap ketika perasmian, Syed Hamadah turut mengingatkan kepada para pendeposit TH agar sentiasa menjaga keselamatan maklumat peribadi dan berwaspada dengan helah taktik penjenayah siber ataupun scammer.
Beliau berkata, “sistem THiJARI yang dibangunkan TH adalah selamat untuk digunakan dan diingatkan kepada semua pendeposit untuk tidak berkongsi kata laluan, nombor TAC dan sebarang maklumat peribadi dengan mana-mana pihak serta tidak membuka sebarang pautan yang mencurigakan”.
Turut hadir dalam majlis perasmian pejabat cawangan tersebut ialah Pengarah Eksekutif Operasi TH, Mohamed Ameen Abdul Wahab bersama barisan Pengurusan Kanan, Pengarah Wilayah Selatan, Pengarah Negeri Johor dan kakitangan TH.
-TAMAT-