KANGAR, 14 April 2014 – Lembaga Tabung Haji (TH) menyerahkan zakat perniagaannya berjumlah RM563,712.32 bagi tahun 2013 kepada Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPS), dalam satu majlis ringkas di sini.
Pembayaran zakat bagi Negeri Perlis tersebut mencatatkan peningkatan sebanyak sembilan (9) peratus berbanding RM515,739.47 pada 2012. Pembayaran zakat perniagaan TH telah disempurnakan oleh Tuan Haji Mohamad Khairi Dasemin, Pengarah TH Negeri Perlis kepada Tuan Haji Abdul Malik Hussin, Ketua Pegawai Eksekutif MAIPS.
Jumlah keseluruhan zakat perniagaan TH untuk tahun kewangan 2013 yang akan dibayar kepada negeri-negeri di Malaysia adalah sebanyak RM46.29 juta berbanding RM41.21 juta (2012). Peningkatan jumlah keseluruhan pembayaran zakat ini adalah sejajar dengan prestasi pendapatan keseluruhan TH yang memberangsangkan bagi 2013. Negeri Perlis merupakan negeri ke-11 dalam siri jelajah penyerahan zakat perniagaan TH pada tahun ini. Bagi Negeri Perlis, pengagihan zakat yang diterimanya bagi tempoh tiga tahun berturut-turut adalah RM563,712.32 (2013), RM515,739.47 (2012) dan RM501,372.00 (2011).
Pembayaran zakat perniagaan merupakan kewajipan dan tanggungjawab TH sebagaimana yang disyariatkan dalam Islam, selain memperlihatkan keprihatinannya sebagai sebuah institusi Islam ikonik negara dalam melestarikan ekonomi dan menjamin kemaslahatan ummah khususnya golongan asnaf.
Selain pembayaran kepada pusat-pusat zakat, TH turut mengagihkan zakatnya secara terus kepada golongan asnaf di seluruh negara melalui program-program tanggungjawab korporat yang disusun atur sepanjang tahun bagi golongan tersebut seperti Program Ehsan, Program Iqra’ dan Program Baiti.
Turut hadir pada majlis tersebut adalah Tuan Haji Mohd Nazim Mohd Noor, Pengurus Baitulmal MAIPS, pegawai-pegawai MAIPS dan TH.
- Tamat –
TH Serah Zakat Perniagaan 2013 Kepada Majlis Agama Islam Dan Adat Istiadat Melayu Perlis