KUALA LUMPUR, 6 April 2020 - Lembaga Tabung Haji (TH) hari ini mengumumkan dua lagi pelantikan baharu pengurusan kanan selaras dengan usahanya untuk memantapkan kepimpinan organisasi.
Puan Rozita Khamsiah Othman telah dilantik sebagai Setiausaha Lembaga berkuat kuasa pada 9 Mac 2020 dan Encik Ahmad Shahriman Johari dilantik sebagai Pengurus Besar Hal Ehwal Awam dan Komunikasi Korporat Kumpulan pada 1 April 2020.
Puan Rozita Khamsiah Othman mempunyai pengalaman luas sebagai penasihat undang-undang dalaman dan setiausaha syarikat berlesen dari pelbagai industri termasuk institusi kewangan kerajaan, pembinaan dan pembangunan hartanah.
Sebelum menyertai TH, beliau berkhidmat sebagai Naib Presiden Kanan di Medini Iskandar Malaysia Sdn Bhd dan bertanggungjawab dalam aspek pengurusan undang-undang syarikat termasuklah memimpin, mengurus dan memantau penyampaian khidmat nasihat undang-undang. Ini termasuklah kepada Lembaga dan ahli-ahlinya dalam aspek litigasi, pentadbiran undang-undang dan perkhidmatan undang-undang bagi pengurusan risiko organisasi. Beliau juga pernah berkhidmat dengan Malaysia Debt Ventures Berhad, KUB Malaysia Berhad dan Kumpulan Maju.
Manakala Encik Ahmad Shahriman yang memegang Ijazah Kesusasteraan Bahasa Inggeris dari Acadia University, Kanada dilantik sebagai Pengurus Besar Hal Ehwal Awam dan Komunikasi Korporat Kumpulan pada 1 April 2020.
Encik Ahmad Shahriman sebelum ini adalah Ketua Komunikasi Korporat di Sime Darby Property Berhad, bertanggungjawab dalam mengurus hal ehwal perhubungan awam serta komunikasi syarikat tersebut. Beliau mempunyai pengalaman luas dalam perhubungan media dan pernah memegang jawatan Ketua Pengarang Berita di New Straits Times (NST).
YBhg Datuk Nik Mohd Hasyudeen Yusof, Pengarah Urusan Kumpulan dan Ketua Pegawai Eksekutif TH berkata, kehadiran Puan Rozita dan Encik Ahmad Shahriman yang memiliki pengalaman luas serta kepakaran dalam bidang masing-masing adalah usaha untuk mengukuhkan TH dengan kepimpinan profesional.
TH mengalu-alukan pelantikan ini dalam usahanya menjadi sebuah institusi Islam yang dihormati kerana pencapaian dan tadbir urus yang baik.
-Tamat-
06042020_SIARAN AKHBAR - TH LANTIK DUA PENGURUSAN KANAN BAHARU.pdf