KUALA LUMPUR, 11 Januari 2021 – Lembaga Tabung Haji (TH) hari ini sukacita mengumumkan pelantikan Encik Mohamad Damshal Awang Damit sebagai Pengarah Eksekutif (Pelaburan) baharu berkuatkuasa 11 Januari 2021.
Encik Mohamad Damshal sebelum ini adalah Ketua Pegawai Pelaburan TH dan berpengalaman lebih 27 tahun dalam industri pelaburan tempatan dan luar negara. Seorang Penganalisis Kewangan Bertauliah atau Chartered Financial Analyst (CFA), beliau juga adalah bekas anggota TH, berkhidmat sejak 1999 – 2003 dalam perancangan korporat dan mengetuai pengurusan pelaburan pendapatan tetap.
Datuk Nik Mohd Hasyudeen Yusof, Pengarah Urusan Kumpulan dan Ketua Pegawai Eksekutif TH berkata, TH mengambil kira pengalaman dan kepakaran anggota dalamannya untuk menyandang jawatan dalam pengurusan kanan sekaligus selari dengan Pelan Rancangan Penggantian yang sedang dibangunkan.
“Dengan pelantikan Mohamad Damshal, Pengurusan Kanan TH yakin kepakaran beliau dalam aspek pelaburan dapat membantu TH menghadapi persekitaran ekonomi yang sangat mencabar berikutan kesan dari wabak Covid-19. TH juga sedang menumpukan usaha untuk melahirkan lebih ramai bakat pengurusan professional selaras dengan matlamatnya untuk menjadi sebuah institusi Islam yang dihormati kerana pencapaian dan tadbir urus.
“Saya juga ingin mengucapkan terima kasih kepada Tuan Haji Hizammuddin Jamalluddin yang sebelum ini menyandang jawatan tersebut. Komitmen berterusan dan kepakaran yang beliau sumbangkan sememangnya amat berharga kepada TH dan kami ucapkan selamat maju jaya untuk kerjaya baharu beliau,” tambah Datuk Nik Mohd Hasyudeen lagi.
-Tamat-