KUALA LUMPUR, 20 DISEMBER 2024 – Percubaan kali pertama menyertai pertandingan bercerita membawa rezeki kepada adik Zufar Nabih Mohd Fadizan apabila dinobatkan sebagai juara Pertandingan Bercerita TaHa Cilik 2024 anjuran Lembaga Tabung Haji (TH), pada 16 Disember lepas.
Zufar, 12 dari Gombak, Selangor berkata beliau tidak menyangka akan menjuarai pertandingan tersebut memandangkan ini merupakan kali pertama beliau menyertai pertandingan bercerita di samping pertandingan bersajak, pidato dan syarahan yang biasa disertainya.
“Saya sangat gembira dan bersyukur atas kemenangan ini. Segala usaha dan latihan yang saya lakukan sebanyak tiga kali sehari berbalas hari ini apabila memenangi pertandingan ini,” kata beliau.
“Ucapan terima kasih tidak terhingga kepada ibu bapa saya yang menjadi penasihat dan jurulatih utama yang sentiasa melatih saya tanpa jemu. Terima kasih juga kepada guru-guru yang sentiasa menyokong dan juga TH kerana menganjurkan pertandingan ini untuk kami kembangkan bakat bercerita,” tambah beliau lagi.
Zufar telah berjaya membawa pulang wang tunai bernilai RM1,000, pakej percutian domestik bernilai RM500 dan cenderahati eksklusif TH.
Manakala, naib johan pertandingan pula dimenangi oleh adik Muhammad Irfan Mohd Rosdan, 12 dari Tanjung Malim, Perak dan adik Nur Aisyah Ariani Jufri, 10 dari Semporna, Sabah di tempat ketiga. Masing-masing membawa pulang wang tunai bernilai RM700 dan RM500, pakej percutian domestik serta cenderahati eksklusif TH.
Pertandingan Bercerita TaHa Cilik 2024 yang dianjurkan buat pertama kalinya oleh TH menerusi Kelab TaHa ini diadakan bagi mencungkil bakat ahli-ahli Kelab TaHa dalam seni penceritaan secara kreatif di samping memupuk minat anak-anak untuk meneladani kisah-kisah para anbiya.
Pengarah Eksekutif Operasi TH, Mohamed Ameen Abdul Wahab berkata peringkat saringan pertandingan ini yang telah bermula di media sosial pada Jun lalu dan mendapat sambutan yang amat menggalakkan dari ahli kelab TaHa berusia tujuh hingga 12 tahun dari seluruh negara.
10 peserta terbaik telah dipilih menyertai pusingan akhir untuk menyampaikan persembahan yang mengangkat tema “Sirah Nabi” yang berlangsung di Dewan Besar, Menara TH Tun Razak dan turut disiarkan secara langsung menerusi laman Facebook rasmi TH.
“TH melalui Kelab TaHa sentiasa komited untuk menganjurkan program dan aktiviti yang dapat memberi manfaat berterusan kepada ahli-ahlinya. Penganjuran pertandingan bercerita yang julung kali diadakan ini telah berjaya membantu anak-anak meningkatkan kemahiran bahasa dan komunikasi, mengasah daya imaginasi dan kreativiti serta membina keyakinan diri untuk bercakap di hadapan orang ramai,” jelas Ameen.
“Inisiatif seperti ini diharapkan dapat menggalakkan lebih ramai ibu bapa dan kanak-kanak di luar sana untuk membuka akaun TH dan seterusnya mendapat keahlian Kelab TaHa secara automatik di samping dapat memupuk budaya menabung sejak dari kecil,” tambah beliau lagi.
Juri penilaian bagi pertandingan ini dibarisi oleh personaliti dan penerbit rancangan TV, Ahmad Fedtri Yahya, di samping Pensyarah Kanan Fakulti Bahasa Moden dan Komunikasi, Universiti Putra Malaysia (UPM), Dr. Nur Fatiha Fadila Abu Bakar dan Ketua Pemerkasaan Sahsiah dan Psikologi di Jabatan Modal Insan TH, Ustaz Shahrul Azam Noor Zeli.
-TAMAT-