MADINAH, 19 Oktober 2012. Seri Paduka Baginda Yang Di Pertuan Agong Tuanku Abdul Halim dan Raja Permaisuri Agong, Tuanku Hajah Haminah selamat tiba di Lapangan Terbang Putera Mohamed Abdul Aziz, Madinah kira-kira jam 3.10 petang waktu tempatan (8.10 malam waktu Malaysia).
Ketibaan Baginda berdua turut diiring Tunku Temenggong Kedah, Tan Sri Tunku Sallehuddin Badlishah (Ahli Jemaah Pemangku Sultan Kedah) bersama Toh Puan Temenggong Kedah Puan Sri Datin Seri Tengku Maliha Tengku Ariff, anakanda baginda Tunku Panglima Besar Kedah, Tan Sri Dato’ Seri Tunku Puteri Intan Shafinaz (Ahli Jemaah
Pemangku Sultan Kedah) dan Dato’ Seri DiRaja Tunku Soraya serta Datuk Seri Iskandar Dzulkarnain Sultan Idris Shah.
Rombongan Tuanku telah disambut oleh Menteri Di Jabatan Perdana Menteri YB Mejar Jeneral Dato’ Seri Jamil Khir Baharom, Gabenor Madinah, Putera Abdulaziz bin Majed bin Abdulaziz dan Duta Besar Malaysia ke Arab Saudi, Prof. Datuk Syed Omar AlSaggaf.
Turut berada di lapangan terbang menyambut tetamu di Raja ini adalah Pengerusi Tabung Haji, Tan Sri Dato’ Sri Abi Musa Asa’ari dan Pengarah Urusan Kumpulan dan Ketua Pegawai Eksekutif Tabung Haji, Dato’ Paduka Ismee Ismail.
Seri Paduka Baginda dan Permaisuri serta rombongan akan menziarahi makam Rasullulah SAW dan bersolat di Raudah di Masjid Nabawi hari ini selepas solat Isyak. Baginda akan berlepas ke Jeddah untuk memasuki Kota Makkah bagi menunaikan umrah esok.
Pada hari Isnin, 22 Oktober, Tuanku Abdul Halim dan Tuanku Hajah Haminah dijadualkan membuat lawatan ke Ibu Pejabat Tabung Haji di Bangunan Abraj Al Janadriah di Makkah untuk meluangkan masa bertemu Jemaah haji Malaysia yang menginap di bangunan tersebut.
Tuanku dan Permaisuri akan berwuquf pada hari Khamis ini bersama tiga juta umat Islam dari seluruh dunia yang menunaikan haji pada tahun ini.
-Tamat-