KUALA LUMPUR, 29 SEPTEMBER 2023: YAB Perdana Menteri, Dato’ Seri Anwar Ibrahim hari ini melancarkan sambutan Ulang Tahun Jubli Intan Lembaga Tabung Haji (TH) yang ke-60 bagi meraikan enam dekad pencapaian TH sebagai sebuah institusi pengurusan haji yang unik di dunia.
Menjengah usianya yang ke-60, TH terus dilihat sebagai sebuah institusi yang bertanggungjawab untuk menguruskan simpanan pendeposit serta urusan haji yang efisyen sehingga menjadi inspirasi dan model ikutan pelbagai institusi luar negara. TH turut menjalankan aktiviti pelaburan dalam dan luar negara sebagai nilai tambah kepada simpanan para pendepositnya.
Sehingga kini, TH telah menguruskan seramai 1.5 juta jemaah haji untuk menunaikan rukun Islam yang ke-lima, disamping membelanjakan RM2.5 bilion Bantuan Kewangan Haji bagi meringankan beban bakal haji negara sejak tahun 2001. TH juga telah mengagihkan keuntungan berjumlah lebih RM40 bilion kepada pendepositnya dalam tempoh 60 tahun.
Bermula dengan hanya 1,281 pendeposit dengan tabungan sebanyak RM46,610, TH kini mempunyai hampir sembilan (9) juta pendeposit dengan jumlah tabungan lebih RM89 bilion.
“Penubuhan TH sebagai sebuah institusi Islam patuh syariah yang unik di dunia adalah hasil minda Madani seorang tokoh ilmuwan, Allahyarham Profesor DiRaja Ungku Abdul Aziz Ungku Abdul Hamid. Sehingga ke hari ini, TH masih kekal relevan meskipun telah mendepani pelbagai cabaran sepanjang 60 tahun dalam memacu kecemerlangan ekonomi ummah,” kata YAB Dato’ Seri Anwar Ibrahim.
Selain itu, beliau berkata, sambutan ini bertujuan untuk memperingati lakaran penubuhan dan sejarah evolusi perkhidmatan TH kepada umat Islam. “Pencapaian TH hari ini juga adalah hasil daripada komitmen yang berterusan dan usaha jitu oleh seluruh warga TH dalam mencapai matlamat TH , seterusnya memenuhi mandat yang telah ditetapkan,” jelas beliau.
YAB Perdana Menteri turut menegaskan agar institusi kebanggaan negara ini konsisten melakukan proses transformasi dan mengukuhkan tatakelola dalam melaksanakan mandat yang dipertanggungjawabkan oleh hampir sembilan (9) juta pendepositnya agar terus kekal mampan.
Sementara itu, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) YB Senator Dato’ Setia Dr. Haji Mohd Na’im juga menyarankan TH untuk terus berusaha dalam mengukuhkan strateginya menerusi Pelan Transformasi Strategik yang dikenali sebagai Hijrah24 yang telah dilancarkan pada tahun 2022.
“Dalam usaha memelihara mandat yang dipertanggungjawabkan dan kekal berdaya saing, TH perlu mencapai sasaran mengikut ketetapan Hijrah24 yang menggariskan lima (5) teras utama dan disokong oleh 24 inisiatif strategik untuk dilaksanakan sepanjang tiga (3) tahun bermula tahun 2022 sehingga tahun 2024 untuk kemampanan Tabung Haji,” kata YB Dato’ Setia.
“Antara inisiatif Hijrah24 adalah untuk menyemak Akta Tabung Haji dengan menerapkan prinsip Maqasid Syariah dalam tadbir urus, mengurus haji dengan lebih efisien, menjana pulangan lebih stabil, meningkatkan simpanan dan membangunkan modal insan terbaik,” tambah beliau.
Bersempena dengan sambutan Ulang Tahun TH yang Ke-60 ini juga, pelbagai program dan aktiviti menarik telah diatur sepanjang tahun khusus untuk warga TH, para pendeposit dan juga para jemaah haji.
-Tamat-