KOTA BHARU, 27 SEPTEMBER 2024: Lembaga Tabung Haji (TH) telah memulakan persediaan Haji bagi musim 1446H/2025M dengan mengadakan Majlis Perasmian Muzakarah Haji Peringkat Kebangsaan (MHPK) ke-41 di Perdana Hotel, Kota Bharu, Kelantan. MHPK yang berlangsung selama tiga hari bermula 27 September, mengangkat tema ‘Akhlak Mulia Cerminan Kemabruran Haji’.
Majlis perasmian telah disempurnakan oleh Yang Berhormat Dato’ Setia Dr. Mohd Na’im Haji Mokhtar, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama). YB Dato’ Setia Dr. Mohd Na’im berkata program Muzakarah Haji ini sangat signifikan dalam membincangkan secara tuntas isu-isu yang berbangkit dan perlu diberi keutamaan untuk diketengahkan dalam musim haji yang akan datang.
“Segala pandangan yang dikemukakan dalam muzakarah ini bukan sahaja penting kepada para jemaah haji negara tetapi juga kepada seluruh umat Islam Malaysia dalam memahami hikmah dan falsafah manasik (cara pelaksanaan) haji serta hukum-hakamnya,” kata beliau.
Selain itu, beliau turut memaklumkan TH kini dalam proses mewujudkan Pusat Rujukan Ibadat Haji (RAJIH) bagi meningkatkan kecekapan dan kajian terhadap isu-isu manasik haji.
“Kajian-kajian semasa mengenai manasik haji ini akan diangkat untuk dibincangkan dengan lebih menyeluruh dan sekiranya bersesuaian akan dijadikan sebagai salah satu keputusan yang akan dipegang oleh pengurusan haji bagi musim haji semasa,” tambahnya lagi. YB Dato’ Setia Dr. Mohd Na’im turut memaklumkan RAJIH juga akan menjadi sebuah pusat latihan bagi pembimbing ibadat haji yang bertauliah meningkatkan lagi kemahiran dalam penyampaian dan memahami isu-isu yang bersifat kontemporari.
Sementara itu, Pengarah Urusan Kumpulan dan Ketua Pegawai Eksekutif TH, Syed Hamadah Syed Othman berkata TH sentiasa komited dalam menyampaikan perkhidmatan cemerlang kepada seluruh pendeposit dan bakal haji dengan pelaksanaan pelbagai program bermula daripada pra sehingga pasca musim haji.
“Kursus-kursus haji untuk musim haji 1446H telah dirangka sebagai persiapan bakal haji dengan bermulanya Kursus Asas Haji pada bulan Oktober ini yang melibatkan lebih 200 buah masjid di seluruh negara. Kursus yang mempunyai 13 siri ini akan memberi penekanan terhadap isu-isu ibadat, pengurusan dan kesihatan,” jelas beliau.
Beliau turut menjelaskan TH akan memperkenalkan dua inisiatif baharu dengan melaksanakan Tadabbur Al-Quran dan kelas Asas Fardhu Ain Jemaah Haji (KAFFAH) di beberapa lokasi terpilih sebagai projek rintis.
“Inisiatif ini bertujuan untuk meningkatkan kualiti ibadah dikalangan bakal haji dengan penekanan terhadap pernghayatan dan kefahaman Al Quran serta isu-isu fardhu ain selain fiqh manasik haji yang menjadi permasalahan lazim semasa di Tanah Suci,” tambah beliau lagi.
MHPK ke-41 akan membincangkan lima kertas kerja antaranya permasalahan hukum-hakam ibadat haji 1445H; masalah talfiq (menerima dan menggunakan pendapat mazhab lain) dalam pelaksanaan hukum haji; hukum menunaikan haji bagi wanita kematian suami yang mendapat giliran menunaikan haji; Dawabit al-Darurah dan al-Hajah (panduan penetapan hukum dari aspek keperluan ibadat haji) serta adab dan akhlak di Masya’ir.
Acara tahunan yang diadakan setiap kali pasca musim haji ini mengumpulkan barisan pengurusan TH, petugas operasi haji, para Pengkursus Ibadat Haji Tanah Air (PEKTA), Ahli Jawatankuasa Penasihat Ibadat Haji, wakil-wakil Pengelola Jemaah Haji (PJH) dan barisan ahli akademik serta delegasi ilmuwan agama daripada luar negara untuk berkongsi ilmu dan pengalaman dalam menetapkan keseragaman hukum-hakam yang berkaitan.
-TAMAT-