KUALA LUMPUR, 28 Ogos 2020 – Lembaga Tabung Haji (TH) hari ini menyerahkan Zakat TH berjumlah RM7,082,402.81 bagi tahun kewangan berakhir 2019 kepada Lembaga Zakat Negeri Kedah (LZNK) dalam satu majlis di Istana Darul Aman, Bukit Persekutuan, Kuala Lumpur.
KDYMM Tuanku Sultan Negeri Kedah telah berkenan menerima bayaran Zakat TH daripada YBhg. Datuk Nik Mohd Hasyudeen bin Yusoff, Pengarah Urusan Kumpulan dan Ketua Pegawai Eksekutif TH. Bayaran zakat bagi Negeri Kedah ini mencatatkan peningkatan berbanding tahun 2018 (RM6,843,903.51).
“Saban tahun TH melaksanakan bayaran zakat yang merupakan sebahagian daripada tanggungjawab TH sebagai sebuah organisasi Islam dengan sasaran untuk memperkasakan kewangan Islam dan pembangunan sosio-ekonomi ummah bagi manfaat khususnya golongan asnaf di Negeri Kedah,” kata Datuk Nik Mohd Hasyudeen bin Yusoff.
TH berharap pembayaran zakat ini dapat dimanfaatkan oleh LZNK ke arah kemampanan program-program zakat yang dirangka di negeri Kedah bagi kelestarian ekonomi golongan asnaf, tambahnya lagi.
Jumlah keseluruhan bayaran Zakat TH 2019 terus mencatatkan peningkatan di seluruh negeri sebanyak RM86,185,327.00 berbanding RM85.570,873.00 pada tahun 2018.
Pada tahun ini, TH memperkasakan lagi tanggungjawabnya dengan pelaksanaan Program Zakat yang disasarkan kepada golongan yang memerlukan melalui penganjuran program berbentuk pendidikan,kebajikan dan kemasyarakatan. Inisiatif ini juga diharap memberi impak positif berganda kepada golongan asnaf.
Majlis yang berlangsung penuh dengan pematuhan Prosedur Operasi Standard (SOP) yang ditetapkan oleh Majlis Keselamatan Negara dan Kementerian Kesihatan Malaysia ini turut dihadiri oleh YBhg. Dato’ Paduka Ammar bin Dato' Shaikh Mahmood Naim, Setiausaha Kerajaan Negeri Kedah; Tuan Syeikh Zakaria bin Othman, Ketua Pegawai Eksekutif LZNK; Encik Mohd Sani bin Harun, Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif (Operasi Kutipan) LZNK; Tuan Haji Nawawi bin Ishak, Pengarah TH Negeri Kedah; anggota TH dan beberapa tetamu jemputan lain daripada pelbagai agensi.
-Tamat-
TH Bayar Zakat Sebanyak RM7.08 Juta Kepada Lembaga Zakat Negeri Kedah