JOHOR BAHRU, 29 Jun 2018: Lembaga Tabung Haji (TH) menganjurkan Kursus Perdana Haji Musim 1439H/2018M peringkat Negeri Johor bermula 29 Jun 2018 sehingga 30 Jun 2018.
Majlis perasmian Kursus Perdana Haji Musim 1439H/2018M Peringkat Negeri Johor ini disempurnakan oleh YAB Dato’ Haji Osman bin Sapian, Menteri Besar Johor bertempat di Masjid Sultan Ismail, Universiti Teknologi Malaysia. Kursus ini melibatkan lebih daripada 3,500 bakal-bakal jemaah haji dari negeri Johor. Turut hadir pada majlis ini, YBHG. Dato’ Badlisyah Abdul Ghani, Timbalan Ketua Pegawai eksekutif TH.
Kursus Perdana Haji (dua hari satu malam) yang diadakan secara berperingkat di 17 lokasi seluruh Negara pada hujung minggu bermula 29 Jun 2018 sehingga 8 Julai 2018 ini merupakan kursus terakhir dianjurkan TH dalam usaha meningkatkan tahap pengetahuan jemaah haji berkaitan ibadah haji terutamanya dari segi praktikal serta platform untuk memberikan maklumat terkini sebelum mereka berangkat ke Tanah Suci.
Bakal jemaah diberikan pendedahan melaksanakan ibadat haji melalui latihan amali secara simulasi seperti bertawaf, saie, melontar jamrah serta amalan dan beribadah secara berkumpulan. Simulasi secara berkumpulan ini memberikan pendedahan terhadap situasi di Tanah Suci yang akan dikunjungi oleh jutaan umat Islam dari seluruh dunia.
TH ingin mengingatkan kepada bakal-bakal jemaah haji untuk tidak meletakkan sebarang ekspektasi tinggi, terutama ketika kemuncak ibadah haji di Arafah, Mudzalifah dan Mina (Masya’ir). Ini kerana kebanyakan daripada perkhidmatan yang disediakan sewaktu Masya’ir ini tertakluk kepada pihak ketiga di Arab Saudi. Justeru, bakal-bakal jemaah haji disarankan untuk bersabar dan istiqamah, seterusnya menumpukan sepenuh perhatian kepada ibadah haji meskipun berhadapan dengan pelbagai cabaran dan kekangan sepanjang keberadaan di Tanah Suci.
Kursus Perdana Haji dijalankan dengan bimbingan dan tunjuk ajar oleh lebih 120 orang Pengkursus Ibadat Haji Tanah Air (PEKTA) Negeri / Daerah dan Pembimbing Ibadat Haji (PIHTAS) yang memperolehi pentauliahan khas Mengajar Haji dan Umrah daripada TH. Kursus ini turut diselia lebih 600 orang petugas haji yang akan bertugas di Tanah Suci.
Bakal jemaah haji juga dinasihatkan untuk membuat segala persediaan lain untuk ke Tanah Suci seperti memantapkan stamina diri dengan melakukan aktiviti riadah dan kecergasan, penjagaan kesihatan melalui pemakanan dan pengambilan vitamin serta penyediaan barangan keperluan yang mencukupi seperti yang disarankan oleh TH. Sepanjang berada di Tanah Suci, bakal haji juga dinasihatkan untuk mematuhi peraturan oleh TH dan pihak kerajaan Arab Saudi demi kebaikan bersama.
Selain Kursus Perdana Haji, TH turut melaksanakan beberapa kursus haji seperti Kursus Asas Haji, Kursus Intensif Haji dan Kursus Khas Haji bagi warga emas. Kursuskursus ini merupakan antara program pendidikan dan bimbingan yang disediakan oleh TH secara percuma dalam membantu meningkatkan pengetahuan khususnya ibadah haji kepada bakal jemaah Malaysia. Penganjuran kursus-kursus ini melibatkan anggaran kos RM5 juta seluruh Negara dan merupakan antara program tanggungjawab sosial korporat (CSR) TH.
-Tamat-