Pasukan Teknologi Maklumat Tabung Haji (TH) kini dalam fasa terakhir persiapan sebelum ketibaan 30,200 Jemaah Haji Malaysia secara berperingkat bermula 4 Julai ini untuk mengerjakan ibadah haji bagi tahun 1440H/2019M.
Pengarah Operasi Bahagian Teknologi Maklumat TH, Za’aba Arpan berkata seramai 10 daripada 17 orang petugas telah tiba pada 23 Jun lalu. Pasukan tersebut kini sedang giat membuat penyelenggaraan lebih 800 peralatan komputer dan memastikan semua infra talian internet serta talian utama berfungsi dan selamat digunakan bagi tiga sektor utama operasi haji iaitu di Makkah, Madinah dan Jeddah.
Bagi memastikan perjalanan operasi haji tahun ini lancar, Bahagian Teknologi Maklumat TH turut menguji beberapa aplikasi sistem utama - Sistem Haji & Deposit; Sistem Maklumat Kesihatan (SIHAT) yang melibatkan pasukan perubatan; Sistem Bersepadu yang akan menyediakan statistik jemaah haji bagi keperluan operasi; dan Sistem Hajj Mobility bagi memastikan pergerakan jemaah haji direkodkan, tambah beliau lagi.
Dalam usaha memberi perkhidmatan terbaik kepada seluruh Jemaah Haji Malaysia, Bahagian Teknologi Maklumat TH akan turut melaksanakan beberapa penambahbaikan untuk tahun ini, seperti - menaik taraf talian di Hospital TH di Makkah dengan menggunakan gentian optik; menaik taraf Sistem SIHAT berpandukan maklum balas operasi tahun lalu; dan membangunkan Sistem Kamar bagi membolehkan alokasi bilik jemaah haji dibuat dan dipantau dengan lebih sistematik.
Za’aba juga yakin semua persiapan IT akan siap sepenuhnya sebelum ketibaan Jemaah Haji Malaysia pada 4 Julai ini. Bahagian Teknologi Maklumat TH telah membuat persiapan operasi haji sejak awal tahun lagi bagi memastikan semua infrastruktur, talian dan sistem berfungsi dengan baik.