KUALA LUMPUR, 16 JUN 2023 : Lembaga Tabung Haji (TH) telah menyerahkan sumbangan untuk membina surau dan menaik taraf masjid yang akan memberi manfaat kepada 700 orang penduduk Islam di Kampung Narinang dan Kampung Menunggui di Daerah Kota Belud, Sabah.
TH telah menyumbang RM491,944.15 kepada Darul Bakti, Sabah bagi merealisasikan projek pembinaan surau di Kampung Narinang serta kerja-kerja penaiktarafan Masjid Al-Hadhari Kampung Menunggui. Kota Belud terletak lebih 70km dari Kota Kinabalu.
Kampung Narinang dan Kampung Menunggui pula masing-masing berjarak 21km dan 2km dari Kota Belud. Pengarah Eksekutif Operasi TH, Mohamed Ameen Abdul Wahab menyerahkan sumbangan TH kepada Pengerusi Darul Bakti, Datin Saidatul Badru Tun Said Keruak dibawah program Musolla TH yang julung-julung kalinya diadakan pada hari Rabu lepas (14 Jun 2023) sebagai tanda keprihatinan dan tanggungjawab TH dalam pemulihan dan pembinaan surau serta masjid.
“Sumbangan ini dapat menyediakan ruang ibadah untuk penduduk di Kampung Narinang di atas tanah wakaf yang kini turut diinap oleh 100 orang dimana 80 daripadanya adalah Muallaf.
Selain itu, menerusi program Musolla TH ini juga, sumbangan disalurkan bagi menaiktaraf Masjid Al-Hadhari di Kampung Menunggui bagi menampung penambahan seramai 600 orang penduduk Islam di kawasan tersebut,” kata Pengarah Eksekutif Operasi TH, Mohamed Ameen Abdul Wahab.
Pelaksanaan program kemasyarakatan ini diharap dapat menyediakan ruangan ibadah yang selesa dan kondusif di kawasan setempat dalam usaha memartabatkan syiar Islam, menjaga kebajikan asnaf dan keperluan keluarga B40 serta muallaf miskin.
Kerja-kerja pembinaan surau Kampung Narinang dan membaikpulih masjid Kampung Menunggui ini dijangka akan mengambil tempoh masa enam bulan untuk disiapkan.
Usaha TH ini akan diteruskan dengan mengenalpasti kawasan yang memerlukan pembinaan surau baru atau penaiktarafan masjid.
-TAMAT