SEREMBAN, Selasa, 6 Jun 2017: Lembaga Tabung Haji (TH) hari ini menyumbang RM86,000 kepada 172 orang asnaf fakir miskin di bawah program tanggungjawab sosial korporat tahunannya, Program Ehsan TH; di Perkarangan Masjid Sikamat, Seremban.
Tahun ini, Program Ehsan TH mensasarkan sumbangan kepada seramai 1,941 asnaf fakir dan miskin di seluruh negara. Sumbangan zakat di negeri ini telah disempurnakan oleh YBhg. Prof. Tan Sri Dato’ Dr. Abdul Shukor Husein, Ahli Lembaga Pengarah TH, kepada penerima sumbangan zakat Program Ehsan TH yang terdiri daripada warga emas, ibu dan bapa tunggal serta orang kelainan upaya (OKU) yang miskin tegar.
“Program Ehsan yang kita adakan hari ini adalah salah satu dari program Tanggungjawab Sosial Korporat (CSR) TH bersempena bulan Ramadhan, bertujuan untuk membantu ibu dan bapa tunggal, warga emas dan orang kurang upaya daripada golongan asnaf fakir miskin di seluruh negara. Program ini merupakan platform terbaik buat TH mendekati para penerima, selain mengeratkan lagi ikatan silaturrahim dengan komuniti setempat,” kata YBhg. Prof. Tan Sri Dato’ Dr. Abdul Shukor Husein.
Selaras dengan matlamat tanggungjawab sosial korporatnya, TH sentiasa komited dalam memainkan peranan dan menggalas tanggungjawabnya dengan baik. Selain Program Ehsan, TH turut sedang melaksanakan Program Ziarah Kasih Ramadan Al Mubarak 2017 yang dikendalikan Yayasan TH di 50 lokasi seluruh negara bersempena bulan Ramadan tahun ini.
Program-program seumpama ini jelas memperlihatkan keprihatinan TH terhadap keperluan masyarakat Islam setempat khususnya golongan asnaf.
Majlis ini turut dihadiri oleh Tuan Haji Mohd Hisham bin Harun, Pengurus Besar Kanan, Jabatan Sumber Manusia, para pegawai TH serta keluarga penerima.
-Tamat