MELAKA, 24 Mei 2019 – Lembaga Tabung Haji (TH) hari ini menyerahkan Zakat TH berjumlah RM 2,693,964.62 bagi tahun kewangan berakhir 2018 kepada Zakat Melaka dalam satu majlis ringkas di Pejabat Ketua Menteri Melaka, YAB Tuan Adly bin Zahari.
Beliau telah berkenan menerima bayaran Zakat TH daripada Tuan Haji Meor Khairi bin Meor Mohd Bazid, Ketua Pengurusan Portfolio (Ekuiti Domestik) TH. Bayaran zakat bagi negeri Melaka ini mencatatkan peningkatan sebanyak 28.2% berbanding tahun 2017 (RM 2,100,930.99).
“Setiap tahun, TH melaksanakan bayaran zakat yang merupakan sebahagian daripada tanggungjawab TH sebagai sebuah organisasi Islam dengan sasaran untuk memperkasakan kewangan Islam dan pembangunan sosio-ekonomi ummah terutama bagi golongan asnaf,” kata Tuan Haji Meor Khairi bin Meor Mohd Bazid.
TH berharap pembayaran zakat ini dapat dimanfaatkan oleh Zakat Melaka ke arah kemampanan program-program zakat yang dirangka di negeri Melaka bagi kelestarian ekonomi golongan asnaf, tambahnya lagi.
Jumlah keseluruhan bayaran Zakat TH 2018 terus mencatatkan peningkatan sebanyak 26.6% (RM85.57 juta) berbanding tahun 2017 (RM67.61 juta).
Pada tahun ini, TH memperkasakan lagi tanggungjawabnya dengan pelaksanaan Program Zakat yang disasarkan kepada golongan yang memerlukan melalui penganjuran program berbentuk pendidikan, keusahawanan, kebajikan dan kemasyarakatan. Inisiatif tersebut diharap memberi impak positif berganda kepada golongan asnaf.
Turut hadir pada majlis tersebut adalah YBhg. Datin Mahani Binti Othman Basir, Timbalan Pengerusi Zakat Melaka; YBrs. Encik Abd Halim bin Ismail; Ketua Pegawai Eksekutif Zakat Melaka; Tuan Haji Amat Kassim bin Pait, Pengarah TH Negeri Melaka; ahli-ahli Lembaga Pengarah Zakat Melaka dan anggota-anggota TH.
24052019_ZAKAT TH MEMPERKASA SOSIOEKONOMI GOLONGAN ASNAF MELAKA .pdf