KELANA JAYA, 9 Mei 2014, Jumaat – Kelab TaHa, Lembaga Tabung Haji (TH) diiktiraf oleh The Malaysia Book Of Records sebagai sebuah kelab yang mempunyai jumlah keahlian pelajar sekolah paling ramai di Malaysia (Most Number Of School Students Memberships In A Single Club) iaitu seramai 1,119,094 pada 31 Disember, 2013.
YBhg. Dato’ Paduka Ismee Ismail, Pengarah Urusan Kumpulan dan Ketua Pegawa Eksekutif TH telah menerima sijil pengiktirafan tersebut daripada YBhg. Datuk Danny Ooi, Pengasas dan Pengarah Urusan The Malaysia Book of Records dalam satu majlis di TH Hotel, Kelana jaya.
Pada awal penubuhannya, Kelab TaHa mempunyai keahlian berjumlah 119,651 pelajar dan telah meningkat daripada tahun ke tahun sehingga mencecah jumlah 1,119,094 pelajar pada 31 Disember 2013. Kini, jumlah keahlian tersebut mencecah melebihi 1.15 juta pelajar.
Dalam ucapannya, YBhg. Dato’ Paduka Ismee Ismail berkata, ”Pengiktirafan yang julung-julung kali diterima ini membuktikan inisiatif dan komitmen TH dalam mencipta rekod tersendiri hasil sokongan padu semua pihak khususnya warga kerja TH dengan kerjasama pihak Kementerian dan Jabatan Pendidikan, pihak pengurusan sekolah serta para pelajar”.
“Perakuan ini diharapkan dapat menjadi pemangkin dalam meningkatkan lagi mutu perkhidmatan sebagai organisasi Islam yang terunggul dan seterusnya memastikan kesinambungan kecemerlangan TH dan Kelab TaHa. Pencapaian ini juga akan menjadi inspirasi dan pendorong semangat kepada ahli-ahli Kelab TaHa ke arah kecemerlangan”, tambah beliau.
Catatan dalam The Malaysia Book of Records ini juga amat bermakna dan sebagai hadiah ulang tahun keenam penubuhan Kelab TaHa pada 28 April lalu. Kelab TaHa yang ditubuhkan pada 2008 mensasarkan golongan pelajar berumur tujuh hingga 17 tahun bagi memupuk sikap berjimat cermat dan gemar menabung sejak zaman persekolahan lagi.
Kelab TaHa juga merupakan platform program tanggungjawab sosial korporat TH (CSR) untuk pembangunan modal insan negara, dengan penganjuran pelbagai aktiviti bermanfaat yang bersifat akademik dan holistik untuk ahli-ahlinya.
Kelab TaHa telah menganjurkan lebih daripada 50 buah program setiap tahun yang berbentuk akademik dan Islamik. Program-program yang dianjurkan dibiayai sepenuhnya oleh TH dan diberikan secara percuma kepada ahlinya sebagai satu bentuk keistimewaan kepada mereka.
Turut hadir pada majlis ini tersebut adalah YBhg. Dato’ Sri Kamarudin Ali, Ketua Pegawai Operasi TH, Tuan Haji Mohamed Yamin Mohamed Yusof, Ketua Penolong Pengarah Kanan, Bahagian Korikulum & Kesenian, Kementerian Pendidikan Malaysia, Encik Mahfar Ali, Ketua Pengarang Kumpulan Berita Harian, pihak pengurusan TH, pegawai-pegawai Pejabat Pendidikan Negeri dan Daerah, pengetua-pengetua sekolah, guru-guru, para pelajar dan ahli Kelab TaHa serta para pegawai TH.
-Tamat-