Bantuan Kewangan Haji diteruskan kepada semua Jemaah Haji Muassasah
KUALA LUMPUR, 22 APRIL 2022 – Lembaga Tabung Haji (TH) mengumumkan akan meneruskan Bantuan Kewangan Haji untuk tahun ini (1443H/2022M) dan memperkenalkan pendekatan secara bersasar bagi memastikan manfaat bantuan tersebut dapat dirasai sepenuhnya oleh golongan yang paling memerlukan. Bantuan Kewangan Haji ini juga adalah selari dengan usaha TH untuk memastikan kebajikan jemaah Haji Malaysia kekal terjamin.
Bantuan Kewangan Haji diteruskan bagi semua jemaah Haji Muassasah TH yang menunaikan haji buat pertama kali dan merangkumi dua kumpulan iaitu jemaah daripada kategori B40 dan selain B40. Berdasarkan kuota haji rasmi tahun ini yang telah diturunkan kepada sekitar 45% oleh Kerajaan Arab Saudi seperti diumumkan baru-baru ini, TH dijangka akan membelanjakan anggaran RM150 juta bagi menampung sebahagian daripada kos menunaikan ibadat haji tahun ini melalui Bantuan Kewangan Haji ini.
Bayaran Haji jemaah Muassasah telah kekal pada RM9,980 seorang sejak 2009, iaitu 13 tahun lepas, walaupun kos menunaikan haji telah meningkat setiap tahun sehingga 103%.
Berikutan pelaksanaan bantuan bersasar, kadar Bayaran Haji untuk seorang jemaah Muassasah B40 dikenakan Bayaran Haji sebanyak RM10,980 iaitu peningkatan hanya RM1,000 seorang. Manakala jemaah Muassasah dalam kategori bukan B40 ialah sebanyak RM12,980 seorang iaitu peningkatan RM3,000 atau purata 2.3 peratus setahun.
Pengarah Urusan Kumpulan dan Ketua Pegawai Eksekutif TH, Dato’ Sri Amrin Awaluddin berkata kenaikan Bayaran Haji tahun ini tidak dapat dielakkan berikutan peningkatan beberapa kos termasuk inflasi, pelbagai cukai terutamanya Cukai Nilai Tambah (VAT) dan caj visa Haji serta perlindungan insuran untuk jangkitan COVID-19 yang dikenakan oleh Kerajaan Arab Saudi.
“Cukai VAT Arab Saudi telah dinaikkan daripada 5 peratus kepada 15 peratus dan ini adalah faktor utama kepada kenaikan kos haji kerana jemaah menerima pelbagai perkhidmatan di Tanah Suci. Cukai ini sahaja menyebabkan kos haji meningkat lebih RM2,500 untuk seorang jemaah haji Muassasah” jelas beliau.
“TH akan meneruskan Bantuan Kewangan Haji dan menyerap kenaikan kos bagi Jemaah Haji Malaysia terutama kategori B40 yang sudah tentunya lebih terkesan dengan impak COVID-19 keatas sara hidup mereka dan penetapan golongan kategori B40 ini adalah berdasarkan pengkalan data yang digunapakai oleh pihak Kerajaan” katanya.
Sejak 2001, Jemaah Haji Malaysia hanya membayar sebahagian daripada kos sebenar untuk menunaikan ibadat haji manakala selebihnya ditanggung oleh TH melalui Bantuan Kewangan Haji yang dijana daripada hasil pendapatan pelaburan.
Pada tahun 2019, Bayaran Haji adalah RM9,980 (44%) manakala Bantuan Kewangan Haji oleh TH ialah sebanyak RM12,920 (56%) untuk seorang jemaah bagi mencukupkan kos menunaikan haji sebenar RM22,900.
Untuk tahun 2022, TH telah menganggarkan kos menunaikan haji bagi jemaah Muassasah sebanyak RM25,540 seorang. Maka, bagi jemaah Muassasah kategori B40, Bantuan Kewangan Haji oleh TH adalah sebanyak RM14,560 seorang(57%) manakala jemaah Muassasah kategori lain turut menerima bantuan sebanyak RM12,560 seorang(49%), berbanding RM12,920 seorang pada tahun 2019(56%).
TH kini sedang giat membuat persiapan akhir untuk membawa bakal jemaah Haji Malaysia ke Tanah Suci setelah dua tahun tertangguh kerana pandemik COVID-19. TH akan mengeluarkan surat tawaran tunai haji mulai hari Isnin ini bersamaan 25 April 2022.
Bagi pemilihan jemaah haji, TH akan mengutamakan bakal haji giliran tunai haji pada tahun 2020, diikuti dengan mereka yang giliran tunai haji pada tahun 2021 dan seterusnya tahun 2022. Ini adalah berdasarkan sistem pendaftaran haji berasaskan prinsip yang dahulu didahulukan. Rayuan haji melalui platform atas talian THiJARI juga telah dibuka dengan memberi keutamaan kepada rayuan mahram.
-Tamat-