Johor Bahru, 19 April 2013 – Lembaga Tabung Haji (TH) hari ini menyerahkan zakat perniagaannya kepada Majlis Agama Islam Negeri Johor berjumlah RM3,700,181.43.
Duli Yang Maha Mulia Sultan Ibrahim Ibni Almarhum Sultan Iskandar, Sultan Johor telah berkenan menerima zakat tersebut bagi pihak Majlis Agama Islam Negeri Johor yang telah disampaikan oleh YBhg. Dato’ Paduka Ismee Ismail, Pengarah Urusan Kumpulan Dan Ketua Pegawai Eksekutif TH bertempat di Istana Pasir Pelangi, Johor Bahru, Johor.
Pengagihan zakat TH ini adalah sebahagian daripada perolehan keuntungan pendapatan yang dicatatkan oleh TH untuk tahun kewangan 2012. Jumlah zakat untuk Negeri Johor bagi tahun 2012 ini telah meningkat sebanyak 6.4% berbanding RM3,478,208.36 bagi tahun 2011.
Pembayaran zakat TH adalah berdasarkan kaedah modal kerja terlaras yang dilaksanakan mengikut pengiraan tahun kewangan semasa. Jumlah keseluruhan zakat perniagaan TH untuk tahun kewangan 2012 yang dibayar kepada negeri-negeri di Malaysia adalah sebanyak RM41.2 juta. Negeri Johor merupakan antara negeri yang tertinggi menerima jumlah zakat bagi tahun kewangan berkenaan.
Dalam majlis yang sama juga, pihak TH telah menyampaikan sumbangan Projek Baiti TH berjumlah RM350,000.00 bagi pembinaan 10 unit rumah baharu untuk golongan asnaf fakir miskin yang terpilih daripada seluruh Negeri Johor.
Projek Baiti TH ini merupakan salah satu inisiatif tanggungjawab sosial korporat TH. Projek ini juga adalah merupakan sebahagian daripada agihan zakat perniagaan TH untuk pembinaan atau penambahbaikan rumah bagi golongan asnaf fakir miskin dan surau atau masjid. Selain Negeri Johor, Projek Baiti TH ini juga telah dilaksanakan di enam (6) buah negeri yang lain iaitu Kedah, Perak, Terengganu, Pahang, Kelantan dan Wilayah Persekutuan. TH telah memperuntukan sumbangan berjumlah RM2.52 juta untuk melaksanakan Projek Baiti TH untuk tahun 2012.
Turut hadir menyaksikan majlis tersebut adalah YB. Dato’ Haji Zainal Abidin Bin Haji Osman, Pengerusi, Majlis Agama Islam Negeri Johor, YBhg. Dato’ Haji Abd. Razak Bin Hassan, Ketua Pegawai Eksekutif, Majlis Agama Islam Negeri Johor, YB. Dato’ Haji Nooh Bin Gadot, Penasihat, Majlis Agama Islam Negeri Johor, Sohibus Samahah Dato’ Haji M. Tahrir Bin Dato’ Kiyai Haji Samsudin, Mufti Negeri Johor, Tuan Haji Mohd Noh Bin Ibrahim, Setiausaha, Majlis Agama Islam Negeri Johor serta para pegawai TH.
- Tamat –
Tabung Haji Serah Zakat Perniagaan TH 2012 Kepada Majlis Agama Islam Negeri Johor