Ayer Keroh, Melaka, 12 April 2013 – Lembaga Tabung Haji (TH) hari ini menyerahkan zakat perniagaannya kepada Pusat Zakat Melaka (PZM) berjumlah RM1,253, 005.19.
Yang Di-Pertua Negeri Melaka, Tuan Yang Terutama Tun Datuk Seri Utama Mohd. Khalil bin Yaakob telah menerima zakat tersebut bagi pihak Pusat Zakat Melaka yang telah disampaikan oleh Puan Hajah Rozaida Omar, Ketua Pegawai Kewangan Kumpulan Lembaga Tabung Haji bertempat di Dewan Banquet Pejabat TYT Yang Di-Pertua Negeri Melaka.
Pengagihan zakat TH ini adalah sebahagian daripada perolehan keuntungan pendapatan yang dicatatkan oleh TH untuk tahun kewangan 2012. Jumlah zakat untuk negeri Melaka bagi tahun 2012 ini telah meningkat sebanyak 5% berbanding RM1,194,174.71 bagi tahun 2011.
Pembayaran zakat TH adalah berdasarkan kaedah modal kerja terlaras yang dilaksanakan mengikut pengiraan tahun kewangan semasa. Jumlah keseluruhan zakat perniagaan TH untuk tahun kewangan 2012 yang akan dibayar kepada negeri-negeri di Malaysia adalah sebanyak RM41.2 juta.
Turut hadir menyaksikan majlis tersebut adalah YAB. Datuk Seri Haji Mohd Ali bin Mohd Rustam, Ketua Menteri Melaka, YB. Datuk Haji Yaakob bin Md. Amin, Pengerusi Hal Ehwal Agama Negeri Melaka, Encik Abu Bakar bin Mohd Yusof, 2 Setiausaha Majlis Agama Islam Melaka, wakil Jabatan Agama Islam Melaka, Ahli-ahli Lembaga Pengarah PZM serta para pegawai TH.
- Tamat –
Tabung Haji Serah Zakat Perniagaan TH 2012 Kepada Pusat Zakat Melaka