KUALA LUMPUR, 8 April 2022: Lembaga Tabung Haji (TH) dan AmBank Islamic Berhad (AmBank Islamic) kini menawarkan perkhidmatan transaksi TH dalam talian menerusi aplikasi AmOnline – sebahagian daripada inisiatif terbaharu sebagai rakan strategik TH. Pelanggan AmBank/ AmBank Islamic yang memiliki akaun TH kini dapat melaksanakan sebarang urusan dalam talian pada bila-bila masa.
Menerusi kerjasama ini juga, pendeposit boleh membuat pindahan simpanan antara akaun AmBank/AmBank Islamic dan akaun TH, membuat pertanyaan baki akaun, serta mendapatkan penyata akaun TH. Selain itu, perkhidmatan pendaftaran haji serta semakan status pendaftaran haji juga boleh dilaksanakan menerusi aplikasi dalam talian ini.
Pengarah Urusan Kumpulan dan Ketua Pegawai Eksekutif TH, Dato’ Sri Amrin Awaluddin berkata kerjasama strategik ini pastinya akan meningkatkan lagi akses perkhidmatan TH seluruh negara. Penggunaan saluran dalam talian terbukti mendapat sambutan baik oleh para pendeposit TH apabila rekod menunjukkan lebih 80 peratus transaksi TH telah dilakukan dalam talian meliputi portal THiJARI, mesin juruwang automatik (ATM) dan mesin deposit tunai (CDM) serta perbankan internet bank-bank rakan strategik TH yang lain sebelum ini di mana hanya 20 peratus transaksi dilakukan di kaunter.
“Dengan penyertaan AmBank Islamic sebagai Rakan Strategik terbaharu TH, pastinya urusan perbankan akan lebih memudahkan kedua-dua para pelanggan TH dan AmBank/AmBank Islamic sendiri,” tambah beliau.
“Kami amat berbesar hati dapat bekerjasama dengan TH dalam usaha untuk mempelbagaikan rangkaian perkhidmatan perbankan kepada para pelanggan kami. Dengan adanya kerjasama bersama TH, para pelanggan kami dapat mengakses dan mengurus akaun TH mereka melalui AmOnline. Kerjasama strategik ini merupakan inisiatif penting bagi AmBank Islamic dalam pelan digital kami untuk mempromosikan pelbagai tawaran perkhidmatan dalam talian kepada pelanggan dan rakan kongsi,” kata Dato’ Sulaiman Mohd Tahir, Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan, Kumpulan AmBank.
“Kami ingin merakamkan penghargaan kepada TH atas sokongan dan keyakinan mereka untuk bekerjasama dengan AmBank Islamic. Kerjasama strategik ini berpotensi untuk memberi manfaat kepada 200,000 pengguna AmOnline yang memiliki akaun TH, yang kini boleh mengakses akaun TH mereka mulai 20 Disember 2021. Kami di AmBank Islamic komited untuk meneroka lain-lain peluang dan inisiatif bersama TH pada masa kini dan akan datang dalam usaha memperkemaskan lagi tawaran serta perkhidmatan kami yang dapat memanfaatkan pelanggan kedua-dua pihak,” tambah Eqhwan Mokhzanee, Ketua Pegawai Eksekutif, AmBank Islamic.
Bersempena dengan kerjasama ini, TH dan AmBank Islamic melancarkan kempen “Dah Link TH & AmBank?” kepada semua pelanggannya dengan menawarkan cabutan bertuah berupa hadiah menarik seperti Pakej Umrah, Gold Bar, iPhone, Tablet, Thermomix dan lain-lain, tertakluk kepada terma dan syarat. Kempen ini bermula pada 1 April sehingga 30 Jun 2022.
Bagi mendapatkan maklumat lanjut berkaitan rakan strategik terkini TH atau sebarang perkhidmatan lain yang ditawarkan TH, orang ramai boleh merujuk di laman web rasmi, www.tabunghaji.gov.my atau terus menghubungi talian THCC di 03-6207 1919.
-Tamat-