KUCHING, 7 April 2017 – Lembaga Tabung Haji (TH) hari ini menyerahkan zakat berjumlah RM1,030,264.85 bagi tahun kewangan berakhir 2016 kepada Tabung Baitulmal Sarawak dalam satu majlis ringkas di Astana Negeri, Kuching, Sarawak.
YBhg. Dato’ Badlisyah Abdul Ghani, Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif TH menyerahkan Zakat TH kepada Tuan Yang Terutama Tun Pehin Sri Haji Abdul Taib Mahmud, Yang di-Pertua Negeri Sarawak. Pembayaran zakat bagi Negeri Sarawak ini mencatatkan peningkatan sebanyak 2.02% berbanding RM1,009,905.14 (2015).
YBhg. Dato’ Badlisyah Abdul Ghani berkata sebagai sebuah institusi Islam, TH menekankan aspek kelestarian ekonomi ummah dan pembayaran zakat berperanan mempertingkatkan kebajikan masyarakat dan membantu meningkatkan kegiatan ekonomi golongan asnaf.
Pembayaran zakat kepada Pusat Pungutan Zakat di seluruh negara dilaksanakan agar wang tersebut dapat dimanfaatkan sepenuhnya oleh golongan asnaf miskin yang layak, dan seterusnya membantu ke arah kemampanan program-program zakat yang bakal dilaksanakan oleh Pusat Pungutan Zakat Negeri-negeri,” kata beliau.
Jumlah keseluruhan pembayaran zakat TH 2016 terus mencatatkan peningkatan sebanyak 1.69% (RM60.3 juta) berbanding tahun sebelumnya, RM59.3 juta (2015). Dengan kenaikan ini, TH akan meningkatkan lagi program pengagihan zakat secara terus kepada asnaf-asnaf di seluruh negara melalui Program Iqra’, Program Ehsan, Program Baiti dan Program Mobiliti. Program-program tersebut diharapkan dapat memberi manfaat secara terus kepada lebih ramai golongan sasar.
Turut hadir pada majlis tersebut adalah YBhg. Datu Haji Abg Mohd Shibli bin Abg Mohd Naili, Pengurus Besar Tabung Baitumal Sarawak; Tuan Haji Ismail bin Haji Hanis, Pengarah Jabatan Agama Islam Sarawak; YBhg Datu Misnu bin Taha, Yang di-Pertua Majlis Islam Sarawak, pegawai-pegawai Tabung Baitulmal Sarawak dan TH.
-Tamat