MELAKA, 31 Mac 2017 – Lembaga Tabung Haji (TH) hari ini menyerahkan zakat berjumlah RM1,614,922.71 bagi tahun kewangan berakhir 2016 kepada Lembaga Zakat Melaka (LZM) dalam satu majlis ringkas di Dewan Sri Utama, Pejabat TYT Yang Di-Pertua Negeri Melaka.
Pembayaran zakat TH telah disempurnakan oleh YBhg. Dato’ Adi Azuan Abdul Ghani, Ketua Pegawai Operasi TH kepada TYT Yang Di-Pertua Negeri Melaka, Tun Datuk Seri Utama Mohd Khalil Bin Yaakob dan disaksikan oleh YAB Datuk Seri Ir. Hj. Idris Bin Hj. Haron, Ketua Menteri Melaka. Pembayaran zakat bagi Negeri Melaka ini mencatatkan peningkatan sebanyak 4.02% berbanding RM1,552,520.41 (2015).
YBhg. Dato’ Adi Azuan Abdul Ghani berkata sebagai sebuah institusi Islam, TH menekankan aspek kelestarian ekonomi ummah dan pembayaran zakat berperanan mempertingkatkan kebajikan masyarakat dan membantu meningkatkan kegiatan ekonomi golongan asnaf.
Pembayaran zakat kepada Pusat Pungutan Zakat di seluruh negara dilaksanakan agar wang tersebut dapat dimanfaatkan sepenuhnya oleh golongan asnaf miskin yang layak, dan seterusnya membantu ke arah kemampanan program-program zakat yang bakal dilaksanakan oleh Pusat Pungutan Zakat Negeri-negeri,” kata beliau.
Jumlah keseluruhan pembayaran zakat TH 2016 terus mencatatkan peningkatan sebanyak 1.69% (RM60.3 juta) berbanding tahun sebelumnya, RM59.3 juta (2015). Dengan kenaikan ini, TH akan meningkatkan lagi program pengagihan zakat secara terus kepada asnaf-asnaf di seluruh negara melalui Program Iqra’, Program Ehsan, Program Baiti dan Program Mobiliti. Program-program tersebut diharapkan dapat memberi manfaat secara terus kepada lebih ramai golongan sasar.
Turut hadir pada majlis tersebut adalah YBhg. Datuk Wira Hj. Yaakub bin Md. Amin, Timbalan Pengerusi Zakat Melaka; YBhg. Datuk Hj. Ibrahim bin Hj. Fadzil, Ketua Pegawai Eksekutif Zakat Melaka; Ahli-Ahli Lembaga Pengarah LZM, pegawaipegawai LZM dan TH.
-Tamat