MELAKA, 30 Mac 2018 – Lembaga Tabung Haji (TH) hari ini membayar zakat berjumlah RM 1,838,314.62 bagi tahun kewangan berakhir 2017 kepada Pusat Zakat Melaka dalam satu majlis ringkas di Dewan Seri Utama, Pejabat TYT Yang DiPertua Negeri Melaka.
YBhg. Datuk Seri Johan Abdullah, Pengarah Urusan Kumpulan dan Ketua Pegawai Eksekutif TH telah menyerahkan bayaran zakat kepada TYT Tun Datuk Seri Utama Mohd Khalil bin Yaacob, Yang Di-Pertua Negeri Melaka. Pembayaran zakat bagi negeri Melaka ini mencatatkan peningkatan sebanyak 13.83% berbanding RM 1,614,922.71 (2016).
“Saban tahun TH sentiasa melaksanakan bayaran zakat pada permulaan tahun agar wang tersebut dapat dimanfaatkan ke arah kemampanan programprogram zakat yang dirangka dan disasarkan kepada golongan asnaf miskin yang layak. TH amat mengutamakan aspek kelestarian ekonomi ummah dan dengan bayaran zakat ini dapat membantu meningkatkan lagi kegiatan ekonomi golongan asnaf,” kata YBhg. Datuk Seri Johan Abdullah.
Jumlah keseluruhan bayaran zakat TH 2017 terus mencatatkan peningkatan sebanyak 12.14% (RM67.6 juta) berbanding tahun sebelumnya, RM60.3 juta (2016). Dengan kenaikan ini, TH akan meningkatkan lagi program pengagihan zakat secara terus kepada asnaf-asnaf di seluruh negara melalui program-program tanggungjawab sosial korporatnya. Program-program ini diharapkan dapat memberi manfaat secara terus kepada lebih ramai golongan sasar.
Turut hadir pada majlis tersebut adalah YAB Datuk Seri Utama Ir. Hj. Idris b Hj. Haron, Ketua Menteri Melaka; YBhg. Datuk Hj. Ibrahim Hj. Fadzil, Ketua Pegawai Eksekutif Pusat Zakat Melaka; Tuan Haji Amat Kassim bin Pait, Pengarah TH Negeri Melaka; para pegawai Pusat Zakat Melaka dan anggotaangota TH. Lembaga Tabung Haji
-Tamat