KUALA LUMPUR, 26 MAC 2021 – Lembaga Tabung Haji (TH) telah dan sedang giat membuat persediaan bagi memastikan kelancaran operasi haji musim 1442H/2021M meskipun berhadapan dengan pelbagai cabaran ekoran pandemik Covid-19 yang melanda seluruh dunia ketika ini.
Dalam sidang media yang diadakan di Menara TH, Pengarah Eksekutif Haji TH, Dato’ Sri Syed Saleh Syed Abdul Rahman berkata persiapan awal yang dibuat adalah dengan mengambil kira amalan norma baharu dalam urusan pengendalian operasi di tanah air termasuk persediaan di stesen-stesen berlepas seluruh negara. TH turut membuat persiapan dari segi penginapan, pengangkutan, penerbangan, sajian makan, hukum hakam ibadah dan sebagainya di Tanah Suci Makkah dan Madinah.
“Walaupun sehingga kini masih tiada kepastian tentang pelaksanaan haji tahun ini, TH perlu mengambil langkah untuk bersedia. Kerajaan Malaysia dan TH masih lagi menunggu pengumuman rasmi Kerajaan Arab Saudi berkaitan urusan haji dan jumlah jemaah haji negara yang dibenarkan untuk melaksanakan rukun Islam yang ke lima pada tahun ini,” jelas beliau.
TH menjangkakan prosedur operasi standard (SOP) dan protokol kesihatan musim haji yang ketat akan dikeluarkan oleh Kerajaan Arab Saudi meliputi penjarakan fizikal di bangunan penginapan, pengangkutan, pelaksanaan ibadat dan lain-lain bagi memastikan keselamatan para jemaah haji dari seluruh dunia.
TH turut menasihati para bakal haji Malaysia agar bersedia menerima sebarang perubahan terkini dan kemungkinan adanya peraturan-peraturan baharu yang diperkenalkan oleh TH dan pihak berkuasa Arab Saudi kesan daripada pandemik Covid-19.
Semua bakal haji juga disaran untuk membuat persiapan sewajarnya dari segi ilmu, kesihatan, rohani dan jasmani serta kewangan.
“TH komited menganjurkan kursus-kursus haji dalam talian bermula sejak awal tahun ini sebagai persediaan melengkapkan para bakal haji dengan ilmu pengetahuan berkaitan ibadat haji serta mendapat gambaran suasana terkini,” tambah Dato’ Sri Syed Saleh.
Seperti yang dilaporkan dalam media, Menteri Kesihatan Arab Saudi telah menyatakan pengambilan vaksin Covid-19 merupakan salah satu syarat wajib untuk semua bakal haji yang ingin menunaikan fardu haji pada musim ini.
Justeru, TH turut menasihati bakal haji yang telah menerima surat tawaran menunaikan haji pada musim haji 1441H/2020M yang lalu untuk segera mendaftar sebagai penerima vaksin menerusi aplikasi MySejahtera dan laman sesawang www.vaksincovid.gov.my atau talian 1800-888-828 seperti yang disarankan oleh Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM). Para anggota TH di pejabat cawangan seluruh negara bersedia membantu urusan pendaftaran bakal haji khususnya yang berusia dan tidak mempunyai akses internet secara langsung.
Bakal haji juga diminta bersedia untuk mengambil suntikan wajib meningococcal apabila dipanggil oleh KKM kelak, supaya proses pengambilan vaksin Covid-19 seterusnya berjalan lancar dan memenuhi sela masa yang ditetapkan. TH akan bekerjasama dengan KKM untuk menguruskan persediaan kesihatan bakal haji.
“Bakal haji harus memahami bahawa hukum kefarduan haji adalah bergantung kepada kemampuan (Istito’ah). Kemampuan termasuklah dari segi kesihatan, kewangan, perjalanan yang selamat, serta terpilih dalam giliran kuota haji,” tambah beliau lagi.
-TAMAT-