KUALA LUMPUR, 21 MAC 2025 - Lembaga Tabung Haji (TH), institusi pengurusan ibadat haji jemaah Malaysia, mengumumkan Agihan Keuntungan bagi tahun kewangan berakhir 31 Disember 2024 pada kadar 3.25 peratus melibatkan jumlah sebanyak RM2.92 bilion yang akan memberi manfaat kepada lebih 9.54 juta pendeposit TH. Kadar tersebut dicapai setelah mengambil kira pelunasan zakat sebanyak 2.5775 peratus (RM99.35 juta).
Agihan keuntungan TH Ini menjadikan jumlah terkumpul agihan keuntungan sejak penubuhan selama 61 tahun sebanyak RM45.79 bilion sehingga kini.
Kadar agihan keuntungan 2024 yang lebih baik ini adalah tertinggi dalam tempoh 7 tahun sejak tahun 2018. Agihan keuntungan ini dipacu prestasi pelaburan yang lebih baik kesan pertumbuhan ekonomi dan pasaran saham negara yang positif pada tahun 2024, disamping usaha berterusan bagi mengawal kos operasi.
“TH adalah sebuah organisasi yang unik. Di samping peranan kami mengutamakan kepentingan umat Islam dan para jemaah Haji, TH juga adalah sebuah institusi kewangan Islam yang berwibawa. Alhamdulillah, ini adalah pulangan yang terbaik sejak 2018. TH akan terus berusaha untuk meningkatkan lagi prestasi masa hadapan bagi membantu pendeposit mengembangkan tabungan haji mereka secara mampan,” kata Tan Sri Abdul Rashid Hussain, Pengerusi TH.
TH GIGIH URUSKAN IBADAH HAJI, BANTU MENOKTAHKAN KEMISKINAN TEGAR
Sebagai institusi haji negara, TH telah membantu lebih 1.5 juta umat Islam negara mengerjakan haji sejak penubuhan dan turut menanggung Bantuan Kewangan Haji sebanyak RM2.8 bilion sejak diperkenalkan 2001. Disamping peranan utama untuk menguruskan ibadat haji jemaah Malaysia, TH memberi nilai tambah kepada pendeposit melalui pelaburan patuh Shariah dan pelunasan zakat bagi pihak pendeposit.
Pendeposit tidak perlu lagi mengeluarkan zakat ke atas akaun di TH memandangkan TH telah melunaskan zakat bagi pihak pendeposit. TH mengumumkan pelunasan zakat sebanyak RM99.35 juta kepada semua Majlis Agama Islam negeri-negeri (MAIN) bagi pihak pendeposit untuk tahun 2024. Jumlah terkumpul zakat yang telah dilunaskan adalah sebanyak RM1.47 bilion sehingga kini. Jumlah zakat TH diselaraskan kepada MAIN berdasarkan nisbah baki simpanan pendeposit mengikut negeri. Pelunasan zakat ini secara langsung atau tidak langsung dapat membantu usaha Kerajaan menoktahkan kemiskinan tegar.
TH telah menyantuni lebih 670 ribu asnaf di seluruh negara pada tahun 2024 melalui Program Zakat Wakalah di mana TH menjadi wakil kepada Majlis Agama Islam Negeri (MAIN) untuk mengedarkan sendiri sebahagian daripada dana zakat tersebut kepada asnaf. Secara keseluruhannya, lebih 2.2 juta asnaf telah menerima manfaaat dari Program Zakat Wakalah TH dalam tempoh sedekad yang lalu.
Pengisytiharan agihan keuntungan ini mematuhi Akta Tabung Haji, 1995 dan diumumkan setelah penyata kewangan TH tahun 2024 selesai diaudit oleh Jabatan Audit Negara. Prestasi kewangan kekal kukuh walaupun TH merekodkan rosot nilai ke atas pelaburan legasi pajakan hartanah di Arab Saudi yang dilakukan sebelum tahun 2018.
PELABURAN BERHEMAT LINDUNG KEPENTINGAN PENDEPOSIT
Walaupun berdepan prestasi ekonomi dunia yang bergelut dengan tekanan inflasi pada tahun 2024, ekonomi Malaysia terus berkembang 5.1 peratus didorong permintaan domestik yang kukuh, kadar faedah yang stabil dan peningkatan pelaburan langsung asing.
Perkembangan ekonomi negara turut didorong oleh perbelanjaan isirumah yang berdaya tahan, dengan sokongan dasar-dasar baharu seperti peningkatan gaji minima dan juga semakan gaji bagi penjawat awam. Inisiatif-inisiatif Kerajaan melalui kerangka Ekonomi Madani memberi kesan positif langsung terhadap pasaran modal negara dimana TH melabur sekitar 90 peratus asetnya dalam pasaran domestik.
Pengarah Urusan Kumpulan dan Ketua Pegawai Eksekutif TH, Datuk Syed Hamadah Syed Othman, berkata TH mengambil pendekatan kepelbagaian portfolio pelaburan dan mensasarkan potensi penjanaan pendapatan yang berdaya tahan dan mampan. Disamping itu, TH juga meneruskan usaha mengawal kos operasi daripada terus meningkat. Kos operasi keseluruhan termasuk Bantuan Kewangan Haji telah menurun sebanyak 4.62 peratus dalam tahun 2024 berbanding tahun 2023.
“TH sentiasa konsisten dalam membuat keputusan pelaburan yang berhemat bagi melindungi simpanan pendeposit dan pada masa yang sama menambah nilai pelaburan. Keputusan untuk menambahbaik alokasi aset strategik (SAA) telah dapat menjana pulangan yang baik dari pasaran saham,” jelas beliau.
SOROTAN PRESTASI 2024
TH telah merekodkan prestasi pelaburan yang baik pada tahun 2024 dengan mencatatkan pulangan pendapatan 5.08 peratus sebelum pelunasan zakat, Bantuan Kewangan Haji dan kos operasi.
Bagi tahun berakhir 31 Disember 2024, TH mencatatkan pendapatan keseluruhan berjumlah RM4.56 bilion, meningkat 6.29 peratus berbanding RM4.29 bilion yang direkodkan pada tahun 2023.
Jumlah aset di bawah pengurusan TH telah mencapai RM95.06 bilion, naik 3.77 peratus daripada RM91.61 bilion pada 2023. Peningkatan ini didorong oleh pendapatan dan nilai pelaburan yang lebih kukuh. Dana pendeposit pula telah mencecah RM91.75 bilion pada akhir tahun 2024, meningkat berbanding RM89.01 bilion pada akhir tahun 2023.
Prestasi TH pada tahun 2024 adalah berkadaran dengan Alokasi Aset Strategik yang berlandaskan tahap toleransi risiko dan tahap kecairan yang bersesuaian untuk TH. Pelaburan dalam instrumen pendapatan tetap merupakan penyumbang terbesar dan telah menjana 50 peratus daripada jumlah pendapatan keseluruhan, manakala 35 peratus disumbangkan oleh pelaburan ekuiti.
Keuntungan daripada dagangan saham telah meningkatkan pendapatan pelaburan ekuiti, selari dengan prestasi pasaran saham domestik yang memberangsangkan pada tahun 2024. Secara keseluruhannya, pelaburan dalam negara telah menyumbang 91.06 peratus daripada pendapatan tahun 2024.
Para pendeposit boleh menyemak Agihan Keuntungan yang dikreditkan ke akaun masing-masing bermula Ahad 23 Mac 2025 menerusi platform THiJARI, kaunter TH, kaunter Bank Islam dan Bank Rakyat dan saluran elektronik bank rakan strategik TH iaitu Bank Islam, Bank Rakyat, Maybank Islamic, CIMB Islamic dan AmBank Islamic.
Pengumuman Agihan Keuntungan dan pelunasan zakat tahun 2024 telah dibuat oleh Menteri Di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Yang Berhormat Senator Dato’ Setia Dr Haji Mohd Na’im Mokhtar pada sidang media di TH hari ini.
Turut hadir sama dalam sidang media ialah Pengerusi TH Tan Sri Abdul Rashid Hussain, Pengarah Urusan Kumpulan dan Ketua Pegawai Eksekutif TH Datuk Syed Hamadah Syed Othman, serta Pengarah Eksekutif Kewangan Kumpulan TH Mustakim Mohamad.
-TAMAT-