KUALA LUMPUR, 16 FEBRUARI 2024: Lembaga Tabung Haji (TH) menawarkan peluang kepada pendeposit TH untuk mendapatkan perlindungan TH Khairat berganda dengan manfaat kewangan sehingga RM24,000 menerusi dua sijil perlindungan TH Khairat.
Pendeposit TH kini boleh mendaftar dan melanggan TH Khairat dengan memilih kedua-dua pengendali Takaful yang dilantik iaitu Syarikat Takaful Malaysia Berhad (STMB) dan Hong Leong MSIG Takaful Berhad (HLM Takaful).
Dengan mengekalkan langganan tahunan serendah RM28 bagi setiap perlindungan, manfaat kewangan yang ditawarkan adalah sebanyak RM12,000 daripada setiap pengendali Takaful kepada penerima manfaat yang dinamakan.
Sekiranya pendeposit memilih untuk mendaftar TH Khairat dengan kedua-dua pengendali Takaful, pendeposit hanya perlu menyumbang RM56 setahun dan penerima manfaat layak membuat tuntutan dengan jumlah keseluruhan RM24,000 iaitu RM12,000 daripada STMB dan RM12,000 daripada HLM Takaful.
Pengarah Eksekutif Operasi TH, Mohamed Ameen Abdul Wahab berkata TH Khairat mendapat sambutan yang amat menggalakkan daripada pendeposit TH sejak ia lancarkan pada 31 Julai tahun lalu dengan lebih 73 ribu pendaftaran direkodkan hanya dalam masa enam bulan sahaja.
“TH menyambut baik maklum balas pelanggan yang berhasrat untuk mendaftar TH Khairat dengan kedua-dua pengendali Takaful. Alhamdulillah, dengan persetujuan dan kesepakatan bersama pengendali Takaful, pendeposit kini boleh mendaftar dengan kedua-dua pengendali Takaful dan penerima manfaat boleh menuntut manfaat kewangan RM12,000 daripada keduaduanya menjadikan jumlah perlindungan yang layak diterima sebanyak RM24,000,” jelas beliau.
“TH akan terus komited dan berusaha memberikan perkhidmatan terbaik dengan meningkatkan kualiti perkhidmatan sedia ada dan memperkenalkan perkhidmatan baharu yang memberi manfaat kepada pendeposit pada masa akan datang”, tambah beliau.
Untuk maklumat lebih lanjut mengenai perkhidmatan ini, sila layari www.tabunghaji.gov.my atau hubungi Tabung Haji Contact Centre (THCC) di talian 03-6207 1919
-TAMAT-