KOTA KINABALU, 28 Januari 2022 – Lembaga Tabung Haji (TH) hari ini menyumbang sejumlah 81unit katil ‘tilt elektronik’ bernilai RM1.8 juta bagi menambah keperluan katil ICU di hospital-hospital terpilih yang ditentukan oleh Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) di seluruh negara.
YB Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Senator Tuan Haji Idris bin Ahmad menerusi ucapannya berkata sumbangan TH ini adalah salah satu dari program zakat TH melalui Program Afi’at khusus untuk membantu meringankan tanggungan hospital-hospital seluruh Malaysia dalam usaha merawat para pesakit terutamanya mereka yang berpendapatan rendah dan golongan asnaf yang memerlukan.
“Walaupun kita sudah beralih ke Fasa Pemulihan, saya percaya pihak KKM masih lagi memerlukan pelbagai bentuk bantuan dan sumbangan daripada badan-badan korporat keluarga Malaysia. Justeru TH sebagai agensi di bawah seliaan Jabatan Perdana Menteri (JPM) mengambil inisiatif langsung dengan memberi sumbangan
zakat menerusi program A’fiat TH pada hari ini pastinya sedikit sebanyak membantu kelancaran dan rawatan pesakit di hospital-hospital,” ujar YB Menteri hari ini di Majlis Serahan Sumbangan Program A’fiat TH di Dewan Hospital Queen Elizabeth II , Kota Kinabalu Sabah.
Katil ICU tersebut telah dibahagikan dan diberikan kepada hospital hospital terpilih kerajaan mengikut negeri seperti Selangor (15), Kuala Lumpur (10), Kelantan (14), Kedah (14), Terengganu (3), Perak (5), Negeri Sembilan (3), Melaka (3), Sabah (4), Johor (2), Pahang (2), Pulau Pinang (2), Sarawak (2) dan Perlis (2).
Sejak Program Afi’at TH ini diperkenalkan pada tahun 2012, mesin dan peralatan perubatan bernilai hampir RM6 juta telah disumbangkan kepada hospital-hospital KKM di seluruh negara.
Sumbangan ini merupakan platform terbaik buat TH mendekati para penerima secara tidak langsung, selain mengeratkan lagi ikatan silaturrahim TH dan Kementerian Kesihatan Malaysia, tambah beliau lagi.
Turut hadir pada majlis ini untuk menerima replika cek Program A’fiat TH ialah Menteri Tugas-Tugas Khas Negeri Sabah, YB Datuk Hj Mohd Ariffin bin Hj Mohd Arif, Pengarah Kesihatan Negeri Sabah, Datuk Dr Rose Nani Mudin, Timbalan Pengarah Kesihatan Negeri (Perubatan) Datuk Dr. Abd Kahar Abd Asis, dan Pengarah Hospital Queen Elizabeth II, Dr Haji Razak Tambi.
Pengarah TH Wilayah Negeri Sabah dan Sarawak Datin Hajah Nurlaili Hj Said serta Haji Yusdi Nasip, Pengarah TH Negeri Sabah juga turut hadir mewakili pihak pengurusan TH.
Pada tahun 2020, TH telah menyumbang 57 buah mesin hemodialisis berjumlah hampir RM2 juta kepada 42 buah hospital kerajaan dalam usaha menangani wabak Covid-19.
Selain daripada program ini, TH terus mempamerkan keprihatinannya dengan penganjuran beberapa program zakat lain seperti Program Iqra’, Program Mobiliti, Program Ehsan dan Program Ikhtiar. Program-program seumpama ini jelas memperlihatkan keprihatinan TH terhadap keperluan masyarakat setempat khususnya golongan asnaf dalam mendepani cabaran Covid-19 yang melanda seluruh negara, khususnya.
SIARAN AKHBAR TH -TH SUMBANG RM1.8 JUTA KEPADA KKM_SJ (28012022).pdf