KUALA LUMPUR, Jumaat, 6 Januari 2017: Lembaga Tabung Haji (TH) hari ini ingin memberi penjelasan mengenai berita yang dipaparkan di laman media atas talian dan sosial, mengenai pengumuman Kerajaan Arab Saudi terhadap penarikan semula pengurangan kuota jemaah haji yang telah dilaksanakan sejak 2013 lalu.
Untuk makluman, setakat ini pihak TH belum menerima sebarang surat pengesahan rasmi daripada Kementerian Haji Arab Saudi mengenai pekara tersebut. Pihak TH akan memaklumkan kepada semua setelah mendapat pengesahan rasmi daripada Kementerian Haji Arab Saudi kelak.
Kuota Haji asal Malaysia adalah 0.1% daripada jumlah penduduk Malaysia seperti dalam laporan statistik Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu. Jumlah tersebut adalah sebanyak 27,900 jemaah. Pada tahun 2013, Kerajaan Arab Saudi telah mengurangkan kuota tersebut sebanyak 20% bagi semua negara atas faktor kerjakerja pembesaran Masjidil Haram. Kuota Malaysia telah dikurangkan kepada 22,320 jemaah sejak 2013 sehingga 2016.
Bahagian Hal Ehwal Awam & Komunikasi Korporat Kumpulan Lembaga Tabung Haji
-Tamat-