SEPANG, 8 JULAI 2023: Operasi haji tahun ini yang melibatkan kuota penuh negara buat pertama kali dalam masa empat tahun telah berjalan lancar meskipun berdepan beberapa cabaran.
Menteri Di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Dato’ Setia Dr. Haji Mohd Na’im Hj Mokhtar berkata beliau amat bersyukur kerana operasi haji tahun ini telah berjalan dengan baik meskipun berhadapan cuaca yang agak tinggi di antara 38 hingga 48 darjah Celsius dan jumlah jemaah mencecah hampir dua juta orang di Tanah Suci.
“Tahniah diucapkan kepada pengurusan TH kerana telah melaksanakan pelbagai inisiatif dalam menguruskan para jemaah haji Malaysia dengan baik selain mendapat pengiktirafan di peringkat antarabangsa buat kali kedua berturut-turut daripada Kerajaan Arab Saudi tahun ini bagi Anugerah Labbaitom,” kata beliau.
Dato’ Setia Dr. Haji Mohd Na’im serta Pengurusan Kanan Lembaga Tabung Haji (TH) telah menyambut kepulangan 350 jemaah haji Malaysia yang tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) hari ini.
Kumpulan jemaah haji ini dijangka tiba pada pukul 9.55 malam menerusi penerbangan Saudia Airlines SV5610 yang berlepas dari Jeddah pada jam 8.08 pagi (waktu Arab Saudi) hari ini.
“Komitmen Kerajaan Malaysia yang sentiasa mengutamakan keselamatan, kesihatan dan kebajikan para jemaah haji Malaysia telah direalisasikan oleh TH dengan memberi kemudahan dan perkhidmatan yang baik. Pengurusan haji kita sering diiktiraf sebagai model terbaik di dunia selain merupakan model pengurusan haji yang menjadi contoh di persada dunia,”tambah beliau.
“Saya ingin mengucapkan jutaan terima kasih kepada Kerajaan Arab Saudi terutamanya Kementerian Haji dan Umrah Arab Saudi dan semua agensi yang terlibat dalam operasi haji pada musim haji ini," kata Dato’ Setia Dr. Haji Mohd Na’im . Sementara itu, Pengerusi TH, Tan Sri Azman Hj Mokhtar turut menzahirkan ucapan setinggi penghargaan dan terima kasih kepada Kerajaan Arab Saudi dan semua semua agensi terlibat dalam membantu melancarkan segala urusan jemaah sama ada di Tanah Suci dan Tanah Air.
“TH akan terus melakukan penambahbaikan perkhidmatannya secara berterusan untuk memastikan kecemerlangannya. Pada tahun ini lebih 25 inisiatif telah dapat dilaksanakan dan saya pasti para jemaah haji telah mendapat manfaat tersebut,” kata beliau.
Tan Sri Azman juga mengucapkan terima kasih yang tidak terhingga kepada semua petugas haji yang telah bertungkus lumus tanpa kenal erti penat lelah terutama semasa operasi Masyair yang begitu mencabar bagi memastikan kebajikan dan keselamatan jemaah haji Malaysia terpelihara.
“Walaupun para jemaah Malaysia dalam keadaan yang baik, namun seramai 70 pesakit masih dirawat di Pusat Rawatan TH di Makkah dan Hospital Arab Saudi manakala sembilan (9) orang jemaah haji telah meninggal dunia di Tanah Suci Makkah,” tambah beliau.
Sebanyak 98 penerbangan menggunakan pesawat Saudia dan AMAL by Malaysia Airlines akan membawa pulang kesemua jemaah haji Malaysia dan petugas-petugas haji secara berperingkat. Penerbangan terakhir dijangka berlepas pada 31 Julai melalui Lapangan Terbang Antarabangsa Prince Mohammad bin Abdul Aziz di Madinah.
-Tamat-