Lembaga Tabung Haji (TH) menyerahkan zakat perniagaannya berjumlah RM1,396,962.60 bagi tahun 2013 kepada Pusat Zakat Melaka (PZM), dalam satu majlis ringkas di sini.
Pembayaran zakat bagi Negeri Melaka tersebut mencatatkan peningkatan sebanyak 11 peratus berbanding RM1,253,005.19 pada 2012. Pembayaran zakat perniagaan TH telah disempurnakan oleh YBhg. Dato' Sri Kamarudin Mat Ali, Ketua Pegawai Operasi TH kepada Tuan Yang Terutama Tun Datuk Seri Utama Mohd. Khalil bin Yaakob, Yang Di-Pertua Negeri Melaka dan turut disaksikan YAB Datuk Seri Ir. Haji Idris bin Haji Haron, Ketua Menteri Melaka.
Jumlah keseluruhan zakat perniagaan TH untuk tahun kewangan 2013 yang akan dibayar kepada negeri-negeri di Malaysia adalah sebanyak RM46.29 juta berbanding RM41.21 juta (2012). Peningkatan jumlah keseluruhan pembayaran zakat ini adalah sejajar dengan prestasi pendapatan keseluruhan TH yang memberangsangkan bagi 2013. Negeri Melaka merupakan negeri kesembilan dalam siri jelajah penyerahan zakat perniagaan TH pada tahun ini. Bagi Negeri Melaka, pengagihan zakat yang diterimanya bagi tempoh tiga tahun berturut-turut adalah RM1,396,962.60 (2013), RM1,253,005.19 (2012) dan RM1,194,175.00 (2011).
ZAKAT PERNIAGAAN TH - MELAKA
Corporate
Wednesday, 26 March 2014