Lembaga Tabung Haji mengadakan Majlis Sahabat Korporat dan Rumah Terbuka Aidilfitri yang dihadiri oleh lebih seribu jemputan di Dewan Perdana FELDA.
Program Sahabat Korporat Lembaga Tabung Haji bertujuan membantu meringankan tanggungan kewangan dan juga memberi kemudahan kepada bakal haji Malaysia khususnya jemaah haji muassasah dalam menyediakan kelengkapan barangan keperluan harian untuk kegunaan ketika berada di Tanah Suci.
Majlis ini dianjurkan oleh Lembaga Tabung Haji sebagai tanda penghargaan dan terima kasih kepada rakan Sahabat Korporat bagi musim haji 1433H. Tahun ini, jumlah rakan Sahabat Korporat Lembaga Tabung Haji mencatatkan penyertaan yang positif iaitu sebanyak 38 buah syarikat dengan jumlah nilai sumbangan lebih daripada RM11.5 juta. Rakan Sahabat Korporat bagi musim haji 1433H antaranya ialah Telekom Malaysia Berhad, Yayasan FELDA, Systematic Conglomerat Sdn Bhd, Chemical Company of Malaysia Berhad, Healwell Pharmaseuticals Sdn Bhd dan lain-lain. Manakala sumbangan yang diterima adalah berupa wang tunai, set penjagaan diri, katil boleh laras (stryker bed), mesin ultrasound, multivitamin, beg sandang, sim kad prabayar, dan sebagainya.