Lembaga Tabung Haji (TH) hari ini melancarkan Pameran Haji dan Fotografi yang bertemakan "Haji : Pengalaman Malaysia" dan akan berlangsung selama tiga bulan, sehingga 20 November 2013.
Majlis pelancaran tersebut telah disempurnakan oleh YB. Mejar Jeneral Dato' Seri Jamil Khir bin Haji Baharom, Menteri di Jabatan Perdana Menteri dan turut dihadiri oleh YB. Datuk Abdul Azeez bin Abdul Rahim, Pengerusi TH serta YBhg. Dato' Paduka Ismee Ismail, Pengarah Urusan Kumpulan dan Ketua Pegawai Eksekutif, TH bertempat di Muzium Kesenian Islam Malaysia, Kuala Lumpur.
Pameran yang julung kali dianjurkan sempena sambutan ulang tahun Jubli Emas TH mengupas sejarah penubuhan serta merangkumkan lima dekad pengalaman TH serta perjalanan jemaah haji Malaysia ke Tanah Suci. Pameran ini merupakan usahasama strategik antara TH dengan Muzium Kesenian Islam Malaysia dan New Straits Times. Pameran ini juga memberikan peluang kepada para pengunjung untuk memahami peranan TH yang sentiasa komited memberikan perkhidmatan terbaik kepada jemaah Negara.