Lembaga Tabung Haji (TH) hari ini melancarkan kempen kesedaran kemalangan untuk anggota TH bersama-sama Pertubuhan Keselamatan Sosial Malaysia (PERKESO) yang diadakan di Dewan Besar TH, Kuala Lumpur.
Kempen yang mendapat kerjasama Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (JKKP) dan Jabatan Keselamatan Jalan Raya (JKJR) ini telah dirasmikan oleh YBhg. Dato' Kamarudin Mat Ali, Ketua Pegawai Operasi TH. Program setengah hari yang disertai lebih 150 orang anggota TH ini merangkumi beberapa sesi taklimat mengenai keselamatan di tempat kerja, keselamatan di jalan raya dan taklimat PERKESO. PERKESO turut menganjurkan kuiz yang menawarkan hadiah sebanyak 23 unit helmet dan jaket keselamatan kepada anggota TH yang terpilih untuk menjawab soalan.
Majlis hari ini turut dihadiri oleh Encik Mohd Asri bin Ngosman, Pengarah PERKESO Negeri, Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, pengurusan Kanan TH serta wakil-wakil daripada PERKESO, JKKP dan JKJR.