Lembaga Tabung Haji mengadakan Majlis Kesyukuran Sempena Tamatnya Operasi Haji Musim 1433 Hijrah sebagai tanda kesyukuran atas hasil kejayaan Tabung Haji dan rakan-rakan strategiknya dalam menguruskan operasi haji pada tahun ini. Majlis ini juga adalah untuk merakamkan tanda penghargaan Tabung Haji kepada pihak-pihak yang telah bersama-sama menjayakan operasi haji di Tanah Air dan Tanah Suci.
Majlis ini dihadiri oleh lebih 300 orang petugas dan wakil dari 33 agensi dan Syarikat swasta yang telah terbabit di dalam operasi haji tahun 1433 Hijrah yang baru saja berakhir.Pengarah Urusan Kumpulan dan Ketua Pegawai Eksekutif Tabung Haji, Dato' Paduka Ismee Ismail dalam ucapan aluannya berkata, kejayaan Tabung Haji pada setiap musim haji adalah hasil kerjasama erat dan hubungan akrab yang telah terjalin sejak sekian lama di antara Tabung Haji dan agensi-agensi luar dan syarikat-syarikat swasta yang juga merupakan rakan-rakan strategik Tabung Haji. Beliau juga turut merakamkan rasa penghargaan dan terima kasih kepada Duta Besar Arab Saudi di Malaysia diatas kerjasama, bantuan serta sokongan baik yang diberikan sepanjang operasi haji berjalan. Antara agensi-agensi yang terlibat di dalam operasi haji kali ini ialah Jabatan Penerbangan Awam Malaysia, Malaysia Airlines, Saudi Arabian Airlines, Kementerian Kesihatan, Jabatan Kastam DiRaja Maalysia, Jabatan Imigresen Malaysia, Jabatan Pendaftaran Negara, Malaysia Airport Berhad, Polis DiRaja Malaysia, Jabatan Kesihatan Wilayah Persekutuan dan Selangor, Tenaga Nasional Berhad, Plusliner dan beberapa buah Syarikat Media elektronik dan cetak.
Hadir sama di dalam majlis tersebut ialah Menteri di Jabatan Perdana Menteri, YB. Mejar Jeneral Dato` Seri Jamil Khir Haji Baharom, wakil Duta Besar Arab Saudi ke Malaysia, Abdul Rahman Al Dayel, serta Pengerusi Lembaga Tabung Haji, Tan Sri Dato' Sri Abi Musa Asa'ari Mohamed Nor.