Lembaga Tabung Haji (TH) hari ini menyerahkan zakat perniagaan kepada Majlis Agama Islam Dan Adat Istiadat Melayu Kelantan yang berjumlah RM3,482,600.41 bertempat di PNB Darby Park, Kuala Lumpur.
Zakat Perniagaan TH Negeri Kelantan telah dipersembahkan oleh Tuan Hj. Abdul Halim Md. Jamil, Pengurus Besar Kanan, Pengurusan Hartanah dan Pentadbiran TH, kepada Yang Teramat Mulia Tengku Muhammad Faiz Petra Ibni Sultan Ismail Petra, Tengku Mahkota Kelantan yang telah berkenan untuk menerima persembahan tersebut bagi pihak Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Kelantan.
Majlis turut disaksikan oleh YBhg. Dato' Nik Kamaruddin bin Ismail, Penasihat Khas kepada YTM. Tengku Yang Dipertua Majlis Agama Islam Kelantan, YBhg. Dato' Haji Kamaruddin bin Mohd Zin, Timbalan Yang Dipertua Majlis Agama Islam Kelantan, Tuan Haji Mohd Nasir Mohd Yusoff, Pengarah TH Kelantan serta pegawai-pegawai MAIK dan TH.