Yang Berhormat Datuk Abdul Azeez Abdul Rahim, Pengerusi Lembaga Tabung Haji (TH) pada hari ini menziarahi keluarga Allayarhamah Shamsiah binti Yaacob, 59, di Lorong Kubor, Batu 25, Machang, Kelantan.
Allayarhamah Shamsiah binti Yaacob merupakan jemaah haji ketiga negara ini yang telah meninggal dunia di Tanah Suci pada musim haji 1434H. Beliau dilaporkan telah meninggal dunia pada Sabtu, 28 September 2013 jam 10.30 pagi waktu tempatan akibat masalah jantung.
Jenazah Allayarhamah telah diuruskan oleh para petugas TH di Makkah dan dikebumikan di Tanah Perkuburan Syara'ek di Makkah selepas solat Asar.
Yang Berhormat Datuk Abdul Azeez Abdul Rahim dalam kenyataannya yang mewakili seluruh warga kerja TH merakamkan ucapan takziah buat keluarga Allayarhamah Shamsiah binti Yaacob. Beliau berharap semoga seluruh keluarga terutamanya diberikan kekuatan dan kesabaran dalam menghadapi ujian dan kehilangan insan tercinta. Beliau juga turut mendoakan agar roh Allayarhamah dicucuri rahmat, mendapat keampunan Allah SWT, serta ditempatkan dikalangan orang-orang yang soleh.